Sabtu, 6 Mei 2023 | 5:00pm
Keluarga bahagia Fasha dan Aidil pada Aidilfitri. Foto IG Fasha Sandha
Keluarga bahagia Fasha dan Aidil pada Aidilfitri. Foto IG Fasha Sandha

Fasha Sandha susut 10 kg

KUALA LUMPUR : Tampak langsing, Fasha Sandha mengaku berat badannya menyusut kira-kira 10 kilogram (kg).

Pelakon drama Anak Tuan ini memberitahu, sejak dimasukkan ke hospital, Mac lalu, akibat kecederaan dialami di set penggambaran naskhah terbabit, selera makannya berkurang.

Apatah lagi, Ramadan menyusul tidak lama selepas itu.

"Ketika dirawat, selera makan saya berkurangan. Kemudian, kita berpuasa pula. Jadi, masalah kurang selera makan bersambung-sambung.

"Memang saya mahu kurus tetapi bukan dalam keadaan tidak sihat. Sebaliknya, saya mahu kurus dalam keadaan sihat dan gembira.

"Setakat ini, berat badan saya turun 10 kg tetapi banyak faktor turut menyumbang kepada keadaan itu. Selepas dirawat di hospital, saya jaga makan walaupun pada Ramadan.

"Selain itu, saya mengehadkan pengambilan ayam dan daging pada hujung minggu sahaja. Pada hari biasa, saya cuma makan ikan dengan nasi," katanya.

Fasha perlu menurunkan berat badan kerana bakal beraksi semula di set penggambaran drama Rampas Cintaku musim kedua, bulan depan.

"Dalam kontrak ada disebut saya perlu turunkan berat badan. Jadi, saya amalkan petua mengehadkan pengambilan ayam dan daging daripada pelakon, Syamim Farid.

"Suami saya, Aidil Aziz tidak kisah sama ada saya gemuk atau kurus.

Fasha berharap dapat kekal langsing selepas penggambaran drama Rampas Cintaku. Foto IG Fasha Sandha
Fasha berharap dapat kekal langsing selepas penggambaran drama Rampas Cintaku. Foto IG Fasha Sandha

"Dia sentiasa sokong apa pun yang saya lakukan. Suami sayang saya walau apa pun keadaan diri ini," katanya.

Namun, Fasha, 39, berharap dapat mengekalkan berat badan selepas tamat penggambaran Rampas Cintaku musim kedua.

Sementara itu, mengenai kecederaan matanya, Fasha berkata, dia sepatutnya menjalani pembedahan tulang mata kirinya yang patah.

Namun, disebabkan enggan matanya berbalut pada Hari Raya, Fasha membuat keputusan menangguhkan pembedahan itu.

Tambah Fasha, biarpun matanya tampak normal, tulang mata yang patah perlu dirawat.

"Luka sudah hilang, cuma bahagian dalam, masih patah. Memang tidak sakit, tapi jika saya paksa mata belah kiri untuk bergerak, sakitnya terasa.

"Pembedahan ditangguhkan selepas Hari Raya kerana saya tidak mahu mata berbalut pada Aidilfitri, " katanya.

Mac lalu, Fasha mengalami kecederaan pada mata akibat terhempap pada bucu katil ketika menjalani penggambaran telefilem Anak Tuan bersama Azhan Rani di Johor Bahru, Johor.

Melalui rakaman video yang dikongsi di Instagram (IG), Fasha dilihat ditolak Azhan hingga kepala dan matanya terkena pada bucu katil secara tidak sengaja.

Akibat kecederaan itu, Fasha terpaksa menjalani rawatan selama lapan hari di hospital.

Berita Harian X