KUALA LUMPUR: Hukuman penjara 12 tahun dijatuhkan ke atas pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali disambut dengan penuh kesyukuran beberapa selebriti tanah air.
Pelakon Betty Banafe antara yang gigih memperjuangkan nasib seorang remaja sindrom Down dikenali sebagai Bella sejak kes dibawa ke mahkamah bersyukur dengan keputusan Hakim Izralizam Sanusi.
Melalui perkongsian Betty di Instagram, sebaik hukuman ke atas Siti Bainun dijatuhkan, suasana di mahkamah riuh dengan tangisan dan jeritan kegembiraan.
"#justiceforbella kemenangan akhirnya di pihak adik Bella anak kelainan upaya (OKU) down sindrom 13 tahun.
"Tangisan, jeritan, kegembiraan suasana di kongsi setelah tamat jatuh hukuman diberikan oleh hakim, pada ketika jam 12 tengah hari.
"Ramai di luar tak boleh masuk, para saksi para pembela dan penyokong #justiceforbella
menunggu peluang bertukar tak masuk..
"Kawalan security yang kuat macam kes VVIP, almaklumlah kes pertama di Malaysia melibatkan kanak-kanak OKU yang didera pada tahap 4," tulis Betty.
Dalam hantaran berkenaan, Betty turut mengucapkan syabas kepada pasukannya, saksi, peguam, pemerhati dan terutama sekali kepada Zuriaty dan Mona Din kerana gigih membawa kes Bella ke muka pengadilan.
"Syabas kepada team kita, para saksi, para dpp, lawyers pemerhati dan terutama our wisel blower Zuriaty mommy, Dan juga kak @monadin.
"Rasa lega sangat apabila keadilan terasa terbukti buat mereka yang teraniaya terutama pada Bella dan bekas penghuni rumah bonda.
"Adik adik X rumah bonda!!! Doa kalian termakbul jua," tulisnya lagi.
Sementara itu, Betty turut menitipkan ucapan takziah kepada Siti Bainun dan keluarga serta berharap perkara itu dapat menjadi iktibar kepadanya.
"Takziah buat Bainun dan keluarga, kami doakan moga ia menjadi iktibar dan Bainun berubah menjadi yang lebih baik dan menyesali segala kezaliman yang dilakukan.
"Moga Allah memberi hidayah dan melembutkan hati hati manusia yang kamu sakiti untuk memaafkan kamu.
"Tiada yang sempurna selain Allah. Maka baliklah kepada sang Pencipta kita ketika kita alpa dan tersesat. Moga kita semua dapat bertemu di jannahtu naim. Amin ya Rab" tulisnya.
Perkongsian Betty itu diulang siar beberapa selebriti lain yang turut gembira dengan hukuman dijatuhkan ke atas pengasas Rumah Bonda itu. Antaranya Ellie Suriaty, Zahida Rafik dan Sherry Ibrahim.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Siti Bainun menjalani hukuman di Penjara Kajang bermula hari ini, selepas dijatuhi hukuman penjara 12 tahun kerana bersalah, mengabai dan menganiaya seorang remaja sindrom Down dikenali Bella.