KUALA LUMPUR : Sering dilontar pelbagai soalan mengenai sambutan Aidilfitri bersama si dia, penyanyi Afieq Shazwan hanya menganggap semua itu sekadar gurauan.
Bagi Afieq, atau nama sebenar, Mohammad Shafieq Shazwan Zamros, beraya bersama keluarga tercinta lebih bermakna, apatah lagi, kali ini, seisi famili berkumpul beramai-ramai.
Afieq yang berasal dari Klang, Selangor, memberitahu, kemeriahan lebaran bersama ahli keluarga lengkap sudah lama tidak dirasai. Justeru, dia berharap, kali ini, setiap detik dimanfaatkan dengan pelbagai aktiviti.
"Tahun ini saya masih beraya 'single'. Tetapi, tidak mengapa, saya akan beraya dengan Mak (panggilan nenek Afieq) dan keluarga.
"Cuma, tahun ini seronok kerana kebetulan kakak-kakak saya balik ke kampung untuk beraya.
"Kadang-kadang, saya beraya berdua dengan mak sebab kakak beraya dengan keluarga mentua.
"Lazimnya, hari raya keempat baru kami semua dapat berkumpul.
"Kalau diikutkan, ketika itu, rasa sedih sedikit. Tetapi, Alhamdulillah, tahun ini, kami dapat bersama. Saya sangat seronok," katanya.
Mengulas mengenai sambutan Aidilfitri di kediamannya milik neneknya di Klang, Afieq berkata, mereka membuat persiapan lebih awal kerana tidak mahu peristiwa 'raya terkejut' seperti tahun lalu berulang.
Malah, Afieq tidak kisah berbelanja besar kerana mahu memastikan semuanya lengkap.
"Pada awal Ramadan, mak sudah bersemangat mencari biskut raya sebab tahu semua anak pulang pada 1 Syawal.
"Banyak juga permintaan daripada mak seperti tukar langsir baharu, kemas rumah dan sebagainya.
"Jadi, untuk bajet raya tahun ini, saya pejamkan mata sahaja dan beri kepada mak.
"Disebabkan saya menjaga mak, setiap kali Aidilfitri, saya sediakan segala-galanya untuk mak.
"Saya ikut sahaja permintaannya," katanya.
Bekas peserta musim pertama program realiti, Idola Kecil ini berkata, dia tidak mahu melebihkan perbelanjaan peribadi, sebaliknya memfokuskan kepada keperluan keluarga.
"Untuk diri sendiri, saya tidak belanja pun. Kali ini, saya mahu lebihkan kepada keluarga.
"Untuk diri sendiri, saya boleh belanja pada bila-bila masa. Lagipun, banyak pakaian saya masih elok dan boleh dipakai.
"Jadi, setiap kali Aidilfitri, keluarga menjadi keutamaan saya. Apa sahaja permintaan mereka, saya turuti.
Afieq teruja seluruh ahli keluarga dapat berkumpul menyediakan juadah Aidilfitri bersama-sama.
"Setiap kali Aidilfitri, menu wajib di rumah saya adalah ketupat yang disediakan sendiri.
"Suasana memasak bersama ahli keluarga pada malam raya memang sangat seronok," katanya.