Jumaat, 21 April 2023 | 11:00am
Ibnor bersama kedua-dua isteri, Sarimah Suleiman (kiri) dan Norhayati Mohd Nor. - NSTP/Amiruddin Sahib
Ibnor bersama kedua-dua isteri, Sarimah Suleiman (kiri) dan Norhayati Mohd Nor. - NSTP/Amiruddin Sahib

Ibnor Riza reda beraya dalam sakit

KUALA LUMPUR: Rasa hiba menyelubungi hati penyanyi popular era 1980-an, Ibnor Riza mengenangkan diri diuji penyakit kanser limfoma tahap empat tatkala meraikan Syawal.

Hanya bersederhana dan lebih banyak menghabiskan masa di rumah, Ibnor bagaimanapun bersyukur dengan kehadiran keluarga yang banyak menceriakan hatinya.

Penyanyi lagu Mimpi Yang Tak sudah itu berkata, suasana Aidilfitri kali ini berbeza daripada apa yang pernah dilalui berbanding dahulu, apatah lagi beliau dijadual menjalani sesi kemoterapi untuk kali ketiga, semalam.

"Aidilfitri saya pada tahun ini tiada apa-apa persediaan. Saya perlu menjalani satu lagi sesi kemoterapi dan badan lemah selepas prosedur itu.

"Jadi, soal merancang dalam menyambut hari raya, memang tiada. Saya cuma izinkan kedua-dua isteri dan anak-anak untuk pulang ke kampung beraya bersama saudara mara.

"Apabila tidak berpeluang untuk menyambut Aidilfitri tahun ini, saya rasa sangat sedih. Tetapi, dengan keadaan saya yang sakit, saya perlu terus kuat.

"Bagaimanapun, saya gembira melihat isteri dan anak-anak ada bersama untuk meraikan Aidilfitri," katanya kepada BH Online.

Tambah Ibnor, perkara yang membuatkan lebaran kali ini terasa adalah ketiadaan ibu bapa yang sudah lama pergi menghadap Ilahi.

"Aidilfitri kali ini tidak begitu bermakna disebabkan saya sudah kehilangan kedua ibu bapa.

"Kalau diikutkan, saya bersama adik-beradik pulang ke kampung bersama-sama. Tetapi, kali ini, rasanya sangat berbeza.

"Saya rasa sangat kosong ketika ini. Cuma saya bersyukur masih ada keluarga sendiri di sisi dan segala kurniaan yang diberi Ilahi, katanya.

Hanya bersederhana dan lebih banyak menghabiskan masa di rumah, Ibnor bagaimanapun bersyukur dengan kehadiran kedua-kedua isteri dan anak-anak banyak menceriakan hatinya. - NSTP/Amiruddin Sahib
Hanya bersederhana dan lebih banyak menghabiskan masa di rumah, Ibnor bagaimanapun bersyukur dengan kehadiran kedua-kedua isteri dan anak-anak banyak menceriakan hatinya. - NSTP/Amiruddin Sahib

Pada saat terhimpit dengan pelbagai dugaan, Ibnor mengaku tidak boleh mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga.

Justeru, penyanyi kelahiran Batu Kikir, Negeri Sembilan itu menghulurkan wang kepada keluarganya bagi membuat persiapan Aidilfitri biarpun pendapatannya terjejas akibat penyakit dihidapi.

"Saya masih hulurkan wang simpanan kepada mereka untuk berbelanja sempena Aidilfitri ini. Walaupun buat masa ini pendapatan agak terjejas, saya tetap cuba untuk menggembirakan hati mereka.

"Itulah sedikit sebanyak apa yang saya boleh lakukan untuk lihat keluarga saya bahagia.

"Saya gembira tengok mereka pakai baju baharu dan buat persiapan lain. Perkara itu sudah cukup membuatkan saya rasa terhibur dalam keadaan sekarang ini," katanya.

Ditanya harapannya untuk sambutan Aidilfitri akan datang, Ibnor mahu kembali merasai kemeriahannya bersama keluarga tercinta.

"Kalau diizinkan Allah, besar harapan saya untuk kembali dapat meraikan Aidilfitri seperti sebelum ini kerana ia memberi makna begitu besar buat saya.

"Kalau diberi kesihatan untuk berpuasa dan beribadat dengan sempurna, itulah perkara yang saya harapkan. Semoga tahun hadapan kehidupan saya boleh kembali normal dan saya berserah kepada Allah.

"Makna yang terbesar bagi Aidilfitri ini apabila dapat berkumpul bersama seluruh ahli keluarga untuk meraikannya.

"Kadang-kadang kita sangat jarang berjumpa dengan mereka lebih kagi apabila sudah berumah tangga. Jadi, perkara itu sangat memberi makna," katanya.

Pada 19 Februari lalu, Ibnor dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Port Dickson selepas pengsan di rumah.

Sebelum itu, dikesan menghidap kanser, Ibnor diserang pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, tahap kolesterol tinggi, buasir, darah tinggi dan migrain teruk.

Berita Harian X