Khamis, 20 April 2023 | 8:30am
Yeoh berbesar hati berkongsi kepakaran dan pengalaman bekerja dengan syarikat produksi antarabangsa dengan pembikin filem tempatan seperti dijanjikan kepada Md Nasir. - Foto ihsan FINAS
Yeoh berbesar hati berkongsi kepakaran dan pengalaman bekerja dengan syarikat produksi antarabangsa dengan pembikin filem tempatan seperti dijanjikan kepada Md Nasir. - Foto ihsan FINAS

Kongsi formula Hollywood

KUALA LUMPUR: Reputasi gah bintang Hollywood kelahiran Ipoh, Tan Sri Michelle Yeoh, 61, dalam dunia perfileman antarabangsa mendorong Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mempelawa pemenang Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95 itu untuk mengendalikan kelas induk atau masterclass bagi pelakon tempatan, Julai depan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim, berkata kredibiliti Yeoh sebagai pelakon prolifik Hollywood dan Hong Kong perlu dimanfaatkan dalam meningkatkan kapasiti tenaga kreatif tempatan, terutama bakat pelapis.

"Pada pertemuan dengan Yeoh, beliau menyatakan persetujuan untuk bekerjasama dengan FINAS dalam dua aspek.

"Pertamanya, meningkatkan pencapaian industri filem dan kedua, membuka jalinan dengan peneraju industri Hollywood yang difikirkan sesuai untuk kita bekerjasama.

"Yeoh sangat berbesar hati untuk membantu FINAS demi kepentingan industri filem negara," katanya kepada BH Online selepas sidang media sempena program istimewa meraikan kejayaan Yeoh, Pride of Malaysia Michelle Yeoh Homecoming Public Fan Meet, di ibu negara, kelmarin.

Selain sidang media, Yeoh yang meraih trofi Oscar bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik melalui watak Evelyn Wang dalam filem Everything Everywhere All at Once (EEAAO), Mac lalu turut diraikan lebih 3,000 peminat di ruang legar utama pusat beli-belah, Pavilion Kuala Lumpur, kelmarin.

Pada acara itu, Yeoh turut menunjukkan trofi Oscar atau digelarnya 'Mr O' kepada peminat sambil disambut sorakan dan ucapan tahniah.

Yeoh menunjukkan trofi Oscar atau digelarnya ‘Mr O’ dalam sidang media sempena program istimewa meraikan kejayaan Yeoh, Pride of Malaysia Michelle Yeoh Homecoming Public Fan Meet, di ibu negara, kelmarin. - NSTP/Asyraf Hamzah
Yeoh menunjukkan trofi Oscar atau digelarnya ‘Mr O’ dalam sidang media sempena program istimewa meraikan kejayaan Yeoh, Pride of Malaysia Michelle Yeoh Homecoming Public Fan Meet, di ibu negara, kelmarin. - NSTP/Asyraf Hamzah

Ini kali pertama Yeoh bertemu peminat di Malaysia sejak muncul sebagai bintang Asia pertama menggondol trofi Pelakon Wanita Terbaik di pentas Oscar.

Yeoh menewaskan empat calon hebat lain iaitu Andrea Riseborough yang membintangi filem To Leslie, Cate Blanchett (Tar), Michelle Williams (The Fabelmans) dan Ana de Armas (Blonde).

Md Nasir berkata, sebagai permulaan, kelas induk atau masterclass yang dikendalikan Yeoh akan dianjurkan Julai depan, iaitu apabila bintang Hollywood itu pulang bercuti di Malaysia.

"Kita akan pelawa pelakon tempatan dan mereka yang terbabit dalam disiplin lakonan untuk menghadiri kuliah induk itu serta belajar daripada Yeoh.

"Usaha ini dapat membantu pelakon kita meningkatkan tahap keyakinan diri dan menguasai kemahiran baharu," katanya.

Dalam perkembangan sama, Md Nasir berkata, FINAS sedang mengenal pasti tenaga kreatif merangkumi penerbit, pengarah, pelakon dan kru yang sudah meraih pengiktirafan antarabangsa atau mereka yang bekerja dengan syarikat produksi luar negara untuk dimasukkan dalam pangkalan data agensi itu.

"Kita mahu wujudkan pangkalan data di mana semua penerbit, pengarah, pelakon, kru dan tenaga kreatif yang memiliki keupayaan tinggi disenaraikan.

"Usaha ini adalah di bawah pelan 'fast track' di mana kita mahu memantapkan ekosistem industri perfileman tempatan melalui perkongsian ilmu dan peluang yang bakal diraih," katanya.

Md Nasir berkata, individu tersenarai dalam pangkalan data boleh mengendalikan kelas induk dan berkongsi kepakaran dengan bakat pelapis, selain bertukar kemahiran.

Tambahnya, pangkalan data itu juga memudahkan FINAS dalam mencari rakan penerbit dari kalangan peneraju industri di luar negara untuk menjalin kerjasama.

"Apabila kita mahu bekerjasama menghasilkan kandungan dengan penerbit luar negara, kita kena ada tenaga kreatif termasuk penerbit dan pengarah yang mencapai tahap tinggi.

"Jika kita tidak memanfaatkan kelebihan mereka, sukar bagi kita untuk menjalinkan projek kerjasama dengan negara luar," katanya.

Berita Harian X