KUALA LUMPUR: Peguam syarie mewakili pengarah sensasi, Syamsul Yusof, Azmi Mohd Rais membantah tindakan Puteri Sarah Liyana yang menjalani prosiding Jawatankuasa Pendamai (JKP) secara tidak bersemuka sebelum ini.
Azmi berkata, prosiding JKP yang dijalankan pada 24 Mac lalu di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) tidak betul apabila kedua-dua pihak menjalani secara berasingan, sekali gus memberi gambaran situasi berkenaan sebagai kecacatan serius.
"Sepatutnya, mereka perlu bersemuka bagi mencari titik perdamaian, tetapi Puteri Sarah jelas berkongsi dalam media sosial mengatakan enggan berjumpa Syamsul dalam sesi JKP.
"Secara teorinya, JKP adalah perbincangan untuk mereka, manakala pegawai JKP pula perlu memujuk supaya berdamai. Itu yang kami hujahkan tadi.
"Kami menyatakan bantahan berhubung perkara ini sebagaimana tercatat dalam ikrar Syamsul dalam draf terma penyelesaian yang dipersetujui.
"Jadi, kami sudah membuat pembetulan selain mencadangkan beberapa terma, tetapi tidak dipersetujui Puteri Sarah seperti keengganannya menarik balik kes sivil membabitkan Ira Kazar," katanya.
Azmi berkata, selain JKP, saman terhadap keluarga Ira Kazar yang enggan ditarik dan jumlah tuntutan nafkah anak menjadi penghalang kepada Syamsul melafazkan cerai ketika prosiding yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, hari ini.
"Usaha nak selesai kes secara persetujuan tidak berjaya. Terdapat beberapa perubahan dibuat Puteri Sarah berkenaan Ira Kazar dan tuntutan lain.
"Puteri Sarah meminda beberapa terma dalam draf persetujuan yang dicapai sebelum ini menerusi satu pertemuan antara kedua pihak.
"Apabila diserahkan draf persetujuan, kami dapati terdapat perubahan. Antaranya, Puteri Sarah masih ingin meneruskan tindakan saman terhadap Ira Kazar dan keluarganya.
"Puteri Sarah juga meminta jumlah mutaah tinggi yang tidak dipersetujui oleh Syamsul. Bagaimanapun, kami ada mencadangkan beberapa terma lain, tetapi tidak dipersetujui.
"Jadi, dari segi penyelesaian tidak ada dan itu adalah punca kenapa kes ini masih berlanjutan," katanya.
Sepatutnya, hari ini Syamsul melafazkan talak terhadap Puteri Sarah, namun perkara itu tidak dilaksanakan berikut tiada persetujuan mengenai beberapa terma.
Berikutan tiada lafaz cerai daripada Syamsul, prosiding akan diteruskan dengan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas pada 25 Mei depan.
Dalam prosiding terdahulu, mahkamah sama menetapkan hari ini untuk Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Syamsul Mohd Yusof, melafazkan cerai terhadap Puteri Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin secara baik mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Pada 7 Mac lalu, Syamsul dan Puteri Sarah diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur melantik wakil JKP dalam kes permohonan perceraian mereka.
Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.
Proses JKP membabitkan anggota keluarga yang rapat dengan pasangan dan dilantik bagi memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.
Antara alasan dikemukakan Puteri Sarah selaku plaintif untuk bercerai ialah sudah tiada persefahaman dan telah berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri menurut hukum syarak.
Syamsul pula selaku defendan sebelum ini memaklumkan enggan menceraikan isteri pertamanya kerana yakin rumah tangga mereka boleh diselamatkan, selain masih menyimpan perasaan sayang terhadap Puteri Sarah.
Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4.