Selasa, 18 April 2023 | 2:26pm

Puteri Sarah tolak dua syarat Syamsul

KUALA LUMPUR: Pelakon Puteri Sarah Liyana, 38, tekad dengan pendirian tidak menarik seluruh kes di Mahkamah Sivil Kuala Lumpur berhubung prosiding menghina mahkamah terhadap Ira Kazar, bapanya serta kakaknya.

Puteri Sarah yang ditemui selepas perbincangan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan berkata, dia tidak akan bersetuju terhadap permintaan suaminya, Syamsul Yusof berhubung diskaun ke atas nafkah anak-anaknya.

"Mulanya kami sudah capai kata persetujuan apabila bertemu tempoh hari, tetapi ada beberapa saya tidak bersetuju.

"Pertama, Syamsul suruh saya tarik kes saman terhadap keluarga Kazar. Saya tidak akan tarik kes itu.

"Untuk apa saya berjuang selama ini? Jadi, syarat diberikan kalau mahu dilepaskan, saya kena tarik kes terhadap keluarga Kazar.

"Mengapa saya kena gugurkan? Kes saya dan Syamsul, itu antara saya dengannya, jadi kenapa nak campur adukkan?," katanya kepada BH Online.

Puteri Sarah berkata, dia tidak akan gugurkan sebab percaya ada hakam.

"Saya percaya saya di pihak yang benar.

"Syarat kedua, Syamsul minta diskaun tuntutan nafkah anak-anak dan mutaah. Saya tak mahu beritahu jumlah, nanti memalukan.

"Ini nafkah anak-anak pun nak minta diskaun. Selepas itu, suruh tarik kes terhadap keluarga Kazar, ini sudah melampau. Tuntutan saya tidak sampai RM1 juta pun," katanya.

Puteri Sarah berkata, dia tidak kecewa apabila kemelut rumah tangga terus berpanjangan memandangkan perbincangan perceraian tidak berjaya.

"Tidakkah senang kalau 7 Mac hari itu ceraikan sahaja saya, jadi tiadalah masalah macam ini.

"Saya tidak larat mahu memuaskan puaskan orang lain. Sekarang saya sedang memperjuangkan hak anak-anak. Saya akan lawan demi anak-anak.

"Sememangnya, saya mengharapkan Syamsul melepaskan saya hari ini, tetapi demi anak-anak, saya akan lawan. Jadi, saya tidak kecewa dengan prosiding hari ini," katanya.

Berikutan tiada lafaz cerai daripada Syamsul, prosiding akan diteruskan dengan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas pada 25 Mei depan.

Peguam mewakili Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kadir mengesahkan perkara itu.

Katanya, permintaan diusulkan oleh pihak Syamsul tidak munasabah.

"Sebelum kami masuk dewan bicara, kami ada menghadiri majlis sulh, berkaitan dengan isu hadanah.

"Jadi, kami ada berbincang mengenai perkara ini dan pihak Syamsul meminta diskaun yang terlampau banyak dan anak guam saya tidak bersetuju.

"Satu lagi, pihak Syamsul minta tindakan di Mahkamah Sivil ditarik balik. Anak guam saya juga tidak bersetuju.

"Sekarang, kes itu sedang berjalan. Sejak awal kami tidak bersetuju dan sudah menyatakan tindakan terhadap keluarga Kazar di Mahkamah Sivil akan diteruskan," katanya.

Akberdin berkata, pihak Syamsul meminta tindakan saman terhadap keluarga isteri keduanya sudah menjadi satu isu.

"Jadi, tawaran diberikan hari ini tidak munasabah. Syamsul mahu nafkah anak dikurangkan sebanyak 30 peratus dan mutaah diturunkan 80 peratus.

"Sebelum ini, anak guam saya tidak menuntut harta sepencarian. Jadi, selepas ini kita akan failkan harta sepencarian pula," katanya.

Dalam prosiding terdahulu, mahkamah sama menetapkan hari ini untuk Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof, melafazkan cerai terhadap Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin secara baik mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Mahkamah menetapkan prosiding lafaz cerai dibuat hari ini selepas peguam syarie yang mewakili kedua-dua pihak memaklumkan terdapat perkembangan baharu dan penyelesaian.

Syamsul dan Puteri Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4.

Puteri Sarah tekad tidak menarik seluruh kes di Mahkamah Sivil Kuala Lumpur berhubung prosiding menghina mahkamah terhadap Ira Kazar, bapanya serta kakaknya. - NSTP/Hazreen Mohamad
Puteri Sarah tekad tidak menarik seluruh kes di Mahkamah Sivil Kuala Lumpur berhubung prosiding menghina mahkamah terhadap Ira Kazar, bapanya serta kakaknya. - NSTP/Hazreen Mohamad
Berita Harian X