KUALA LUMPUR: Berbeza dengan kebanyakan kes perceraian selebriti, pelakon Alicia Amin dianggap antara artis yang bijak menutup aib apabila tidak mencanangkan kemelut rumah tangga.
Tanpa menjadikan media sosial sebagai platform mendedahkan kelemahan pasangan, Alicia sebaliknya menggunakan medium itu untuk mengumumkan perceraian dengan bekas suami, Dr Farzan Iqbal, lebih sebulan lalu.
Biarpun berita perceraiannya itu mengejutkan banyak pihak dan mencetuskan tanda tanya, namun ramai yang memuji tindakan Alicia yang disifatkan profesional.
Mengulas perkara itu, peragawati sensasi ini memohon agar masyarakat tidak membandingkan kisahnya itu dengan konflik rumah tangga artis lain. Baginya, takdir mereka berbeza.
"Situasi saya lain dengan apa yang kita dengar daripada media. Kami tidak bergaduh pasal anak atau soal harta.
"Mungkin jika perceraian kami itu membabitkan soal hak penjagaan anak atau pembahagian harta sepencarian, perkara itu jadi lain.
"Tekanan pihak sekeliling kerana status sebagai selebriti turut menjadikan perceraian selebriti perdebatan netizen.
"Jadi, saya tidak mahu komen lebih mengenai hal itu. Saya tidak ada hak untuk membandingkan proses perceraian saya dengan mereka.
"Lagipun, saya ada pengalaman melihat orang tua saya bercerai yang mana situasi mereka agak kecoh. Semuanya kerana membabitkan soal anak, rumah, tanah, kereta dan sebagainya," katanya kepada BH Online.
Alicia atau nama penuh, Raja Alicia Raja Amin, 28, meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada bekas suami kerana menjadikan proses perceraian mereka lebih mudah.
"Alhamdulillah, bekas suami saya pun baik. Dia tidak menyusahkan saya. Bukanlah hendak kata suami orang lain tidak baik, tetapi contoh yang saya ambil ini adalah dalam konteks diri saya sendiri.
"Dia (bekas suami) boleh sahaja hendak susahkan saya. Tetapi dia pilih untuk tidak melakukannya. Jadi saya, nak berterima kasih padanya," katanya ditemui pada sidang media dan tayangan perdana program Raya Astro 2023 di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Diusik pertanyaan apakah ada insan yang cuba ingin mendekatinya selepas kembali solo, bekas peserta program realiti Asia's Next Top Model ini berkata, soal jodoh bukan lagi menjadi keutamaan.
"Baru sebulan saya bercerai. Siapa berani? Buat masa ini, saya mahu rehat daripada memikirkan soal jodoh.
"Fokus saya ketika ini adalah kerja. Bukanlah hendak kata masa saya bergelar isteri saya tidak fikir pasal kerja.
"Tetapi, biasalah, apabila sudah berkahwin, tentu kita ada perancangan lain yang perlu diberi keutamaan.
"Jadi, apabila kembali solo, saya boleh fikirkan soal kerja seperti mencuba nasib di Indonesia atau pergi jauh seperti Amerika Syarikat (AS) atau United Kingdom (UK).
"Saya boleh buat semua itu tanpa perlu dapatkan restu atau pandangan kedua daripada suami," katanya.
Pada 2 Mac lalu, Alicia mengesahkan bercerai talak satu secara baik dengan Farzan.
Bagaimanapun, pelakon filem The Disappearance of Irdina Adhwa itu enggan mendedahkan punca perceraian.
Alicia dan Farzan mendirikan rumah tangga pada 14 Februari 2021 dalam majlis ringkas. Bagaimanapun, mereka tidak dikurniakan cahaya mata.