KUALA LUMPUR : Bintang Hollywood, Tan Sri Michelle Yeoh, 60, sudah berada di Malaysia dan akhirnya dapat memberikan ibunya, Datin Janet Yeoh, 84, memegang sendiri trofi kemenangan pada Anugerah Akademi (Oscar), Mac lalu.
Yeoh ternyata sangat gembira dapat berkongsi trofi itu kepada ibunya yang disifatkan tunjang terpenting kejayaannya sampai sekarang.
"Bawa pulang Mr O (trofi Oscar). Tanpa kasih sayang dan kepercayaan dan sokongan orang tua saya, saya takkan berada pada tahap ini sekarang," katanya dalam hantaran Instagram (IG).
Tidak ketinggalan, Yeoh turut membawa trofi itu ke pusara bapanya, mendiang Datuk Yeoh Kian Teik.
Yeoh pulang ke tanah air bagi menyambut ulang tahun ibunya, Janet yang sudah menjadi kepulangan wajib saban tahun.
Pelakon Hollywood kelahiran Ipoh, Perak itu dijadual bertemu peminat pada acara karpet merah di Centre Court, Pavilion Kuala Lumpur, di sini, pada 18 April ini, jam 5 petang.
Difahamkan, orang ramai yang ingin mengikuti acara membabitkan bintang kebanggaan negara itu tidak perlu membuatkan sebarang pendaftaran, sebaliknya terus hadir.
Tarikh 13 Mac lalu menyaksikan detik bersejarah apabila Yeoh menjadi wanita Asia pertama menang trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Akademi (Oscar) di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).
Kemenangan itu menerusi penampilan dalam filem Everything Everywhere All At Once (EEAAO) yang turut menang besar pada edisi itu. - HM Online