KUALA LUMPUR: Selama 13 tahun lagu Bintang jadi simpanan, akhirnya penyanyi dan komposer popular, Hael Husaini mendendangkannya sebagai lagu runut bunyi drama menggunakan judul sama untuk siaran slot Lestary di TV3 sejak 6 April lalu.
Kemunculan Hael dengan lagu Bintang pastinya mengubati kerinduan peminat tegar yang sering kali bertanya mengenai lagu sentimental sentuhannya.
Lagu Bintang adalah karya kerjasama Hael bersama TV3 dan Alternate Records Sdn Bhd. Bintang juga antara karya terbaik Hael yang mengetengahkan melodi dan lirik menyentuh hati selepas lebih sedekad menyimpannya.
Lebih menarik, lagu Bintang yang juga hasil sentuhan kreatif Hael sebagai komposer dan penulis lirik, terpilih disebabkan mempunyai jalan cerita hampir sama dengan drama Bintang arahan Nizam Zakaria dan terbitan Country Universal ini.
Hael berkata, dia berharap lagu Bintang memberi makna istimewa kepada pendengar.
"Kita dapat menilai apa erti bintang kepada insan yang disayangi. Bintang menggambarkan sepasang kekasih yang sentiasa ada bersama, namun diuji dengan perpisahan antara dunia berbeza.
"Saya berterima kasih kepada semua pendengar yang sentiasa menyokong saya. Ini kerana tanpa peminat saya tidak mungkin berada dalam industri seni sehingga hari ini," katanya.
Drama Bintang menampilkan pelakon Ruhainies, Keith Foo dan Daniel Fong sebagai teraju utama.
Ia mengisahkan hubungan Iris (Ruhainies) dan Thirak (Daniel) terpisah sejak zaman persekolahan disebabkan tidak direstui oleh ibu bapa Iris.
Mereka bertemu semula selepas kematian orang tua Iris beberapa tahun kemudian. Dugaan sekali lagi menghimpit apabila Mustafa (Keith Foo) muncul merebut cinta Iris.