Isnin, 10 April 2023 | 3:53pm

Kami berpisah demi masa depan - Syamsul

KUALA LUMPUR: "Ya, saya sudah berbincang secara baik dengan Puteri Sarah dan memikirkan masa depan kami dan anak-anak," demikian jawapan ringkas pengarah sensasi, Syamsul Yusof, 39, selepas selesai prosiding sebutan kedua laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, pagi tadi.

Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Syamsul Mohd Yusof berkata, keputusan berpisah dengan isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana, 38, adalah dorongan dan doa pelbagai pihak.

"Alhamdulillah, mudah-mudahan berkat Ramadan ini segala-galanya dapat diselesaikan dengan baik.

"Ini juga doa insan tersayang, mungkin doa ibu bapa. Saya tak mahu komen banyak-banyak, saya mahu mengelakkan fitnah pada bulan Ramadan.

"Itu sahaja yang saya mampu kata. Alhamdulillah, doakan yang terbaik," katanya.

Syamsul ketika menghadiri prosiding sebutan kedua laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, pagi tadi. - NSTP/Aziah Azmee
Syamsul ketika menghadiri prosiding sebutan kedua laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, pagi tadi. - NSTP/Aziah Azmee

Mengulas hubungan dengan orang tuanya, Syamsul enggan mengulas lanjut.

"Tiada komen. Doakan yang baik-baik," katanya.

Pagi tadi, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan menetapkan 18 April ini untuk Syamsul melafazkan cerai terhadap Puteri Sarah.

Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas menetapkan tarikh berkenaan selepas peguam syarie yang mewakili kedua-dua pihak memaklumkan terdapat perkembangan baru dan penyelesaian antara kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, terma penyelesaian yang dimaklumkan pada tarikh itu akan direkodkan. Antaranya, membabitkan hadanah, nafkah anak, mutaah, nusyuz dan harta sepencarian.

Syamsul dan Puteri Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4.

Syamsul menganggap keputusan berpisah dengan isteri pertamanya, Puteri Sarah atas dorongan dan doa pelbagai pihak. - NSTP/Aziah Azmee
Syamsul menganggap keputusan berpisah dengan isteri pertamanya, Puteri Sarah atas dorongan dan doa pelbagai pihak. - NSTP/Aziah Azmee
Berita Harian X