Isnin, 10 April 2023 | 3:19pm
Syamsul memulakan langkah mengadakan perbincangan dengan Puteri Sarah di rumah selepas berbuka puasa dengan anak-anaknya, semalam. - NSTP/Aziah Azmee
Syamsul memulakan langkah mengadakan perbincangan dengan Puteri Sarah di rumah selepas berbuka puasa dengan anak-anaknya, semalam. - NSTP/Aziah Azmee

Syamsul tarik semula tuntutan nusyuz

KUALA LUMPUR: Pelakon Puteri Sarah Liyana, 38, mendedahkan suaminya yang juga pengarah sensasi, Syamsul Yusof, 39, akan menarik semula semua tuntutan termasuklah nusyuz yang difailkan pada 21 Mac lalu.

"Kami sudah berbincang, Syamsul akan menarik semula tuntutan nusyuz. Saya juga tidak akan memfailkan nusyuz.

"Insya-Allah, semua tuntutan akan selesai termasuk hak penjagaan anak-anak.

"Kami akan selesaikan syarat seperti hadanah, nafkah anak, mutaah, nusyuz dan harta sepencarian. Saya sudah memberitahu Syamsul, dia okay sahaja, Alhamdulillah.

"Sasaran saya nak hidup dengan tenang. Syukur, semuanya selesai dengan baik," katanya yang ditemui selepas menghadiri prosiding sebutan kedua laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, pagi tadi.

Perkara itu turut disahkan oleh peguam syarie mewakili Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kadir.

"Tuntutan hadanah akan diselesaikan, manakala nusyuz difailkan Syamsul akan ditarik balik," katanya ringkas.

Dalam masa yang sama, Puteri Sarah percaya keberkatan Ramadan, solat tahajud dan hajat di bulan mulia, akhirnya membuka pintu hatinya memilih jalan perdamaian dan bersemuka dengan Syamsul selepas hampir setahun tidak bertentang mata.

Puteri Sarah percaya keberkatan Ramadan, solat tahajud dan hajat akhirnya membuka pintu hatinya bersemuka dengan Syamsul selepas hampir setahun tidak bertentang mata. - NSTP/Aziah Azmee
Puteri Sarah percaya keberkatan Ramadan, solat tahajud dan hajat akhirnya membuka pintu hatinya bersemuka dengan Syamsul selepas hampir setahun tidak bertentang mata. - NSTP/Aziah Azmee

Puteri Sarah berkata, Syamsul memulakan langkah mengadakan perbincangan dan semuanya berjalan dengan aman.

"Kami berjumpa di rumah, semalam. Secara kebetulan, Syamsul membawa anak-anak berbuka puasa dan bertemu saya selepas itu.

"Apabila duduk bersama, kami langsung tak bergaduh, malah boleh berbincang dengan baik. Jujurnya, saya juga mahukan segala-galanya berakhir dengan tenang, tiada pergaduhan atau permusuhan.

"Memang betul sebelum ini saya tidak mahu bersemuka, tetapi saya juga tidak mahu bermusuhan. Kami mungkin boleh jadi kawan demi kebaikan anak-anak.

"Saya nak teruskan hidup dengan tenang dan tak mahu ada dendam dalam hati. Jadi, kami berbincang dan capai kata sepakat dalam tuntutan perceraian. Alhamdulillah, semua syarat-syarat sudah dipersetujui," katanya.

Pagi tadi, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan menetapkan 18 April ini untuk Syamsul melafazkan cerai terhadap Puteri Sarah.

Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas menetapkan tarikh berkenaan selepas peguam syarie yang mewakili kedua-dua pihak memaklumkan terdapat perkembangan baru dan penyelesaian antara kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, terma penyelesaian yang dimaklumkan pada tarikh itu akan direkodkan. Antaranya, membabitkan hadanah, nafkah anak, mutaah, nusyuz dan harta sepencarian.

Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4.

Berita Harian X