Khamis, 6 April 2023 | 1:00pm
Khairul Anwar bersama karyanya yang dipamerkan
Khairul Anwar bersama karyanya yang dipamerkan

Luah rasa atas kanvas

KUALA LUMPUR: Siapa sangka, di sebalik deretan kediaman mewah di kawasan perumahan elit di pinggir ibu kota, tersergam sebuah galeri yang mula beroperasi, sejak kira-kira tiga tahun lalu.

Galeri diberi nama Tiga Tekko Studio ini sangat istimewa buat pemiliknya, iaitu tokoh yang cukup terkenal dalam dunia kreatif dan penyiaran, Datuk Khairul Anwar Salleh.

Di galeri inilah Khairul Anwar menumpahkan jiwa artistik di atas kanvas untuk diabadikan sebagai karya ekspresi diri.

Andai sebelum ini, Khairul Anwar lebih dikenali sebagai 'orang kuat' stesen penyiaran atas kedudukan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) dan Primeworks Studios (PWS), pada sisi berbeza, Khairul Anwar cukup meminati karya seni visual yang disifatkan cinta keduanya.

"Minat terhadap dunia seni bermula sejak di bangku sekolah iaitu menerusi bidang lakonan teater. Ketika itu, saya berada di Singapura.

"Sebagai budak nakal di sekolah, biasanya watak diberi adalah karakter jahat. Bermula dari situ, saya mula jatuh cinta dengan seni teater.

"Saya kemudian mendaftar dengan sekolah kesenian kerana mahu mendalami ilmu pengarahan teater dan mendapatkan sijil.

"Dari situlah saya mula mengenali dunia lukisan. Minat itu semakin bercambah selepas saya mula mengenali kumpulan kesenian di Malaysia iaitu kumpulan Anak Alam.

"Kumpulan ini terbahagi kepada dua iaitu penggiat teater dan pelukis. Kiranya, lukisan adalah cinta kedua saya apabila saya memutuskan mendapatkan pendidikan formal dalam bidang itu di sebuah universiti di luar negara" kata Khairul Anwar kepada BH Online ketika ditemui di Tiga Tekko Studio di Kemensah Heights, Hulu Klang, Isnin lalu.

Galeri Tiga Tekko Studio inilah Khairul Anwar menumpahkan jiwa artistik di atas kanvas untuk diabadikan sebagai karya ekspresi diri. - NSTP/Aziah Azmee
Galeri Tiga Tekko Studio inilah Khairul Anwar menumpahkan jiwa artistik di atas kanvas untuk diabadikan sebagai karya ekspresi diri. - NSTP/Aziah Azmee

Mengimbau detik ketika beliau menyedari dirinya berbakat dalam seni lukis, Khairul Anwar berkata, kesedaran itu timbul pada usia 10 tahun.

"Ketika itu, saya memenangi tiga tempat teratas dalam pertandingan melukis poster untuk sebuah kempen anjuran sekolah.

"Malah, potensi saya dalam bidang lukisan dikesan seorang guru. Beliau banyak meminta saya membantu pelajar lain menyiapkan projek lukisan mereka," katanya yang tampil santai mengenakan celana denim biru dan kemeja motif bunga pada sesi temu ramah itu.

Biarpun menemui kebahagiaan dalam dunia lukisan, namun, akui Khairul Anwar, minat itu terpaksa dilupakan berikutan tuntutan kerja hakiki, ketika itu.

"Selepas menamatkan pengajian dan kembali aktif melukis, saya akhirnya memutuskan untuk tidak meneruskan minat saya selepas ditawarkan bekerja di stesen penyiaran Mediacorp sebagai pengarah dan penerbit.

"Dengan bebanan dan tuntutan kerja yang semakin banyak, agak sukar untuk saya aktif melukis.

"Bagaimanapun, perasaan untuk kembali memegang berus dan bermain dengan warna timbul kembali ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.

"Pada awalnya, agak sukar untuk saya dapatkan kembali rentak menghasilkan lukisan kerana sudah lama saya tinggalkan hobi itu.

"Justeru, saya mulakan dengan membuat lukisan kecil sebelum beralih kepada kanvas yang lebih besar.

"Diakui sepanjang PKP, ia adalah tempoh paling produktif buat saya. Banyak ilham tercetus dan banyak lukisan dihasilkan dalam tempoh itu.

"Sepanjang tempoh itu, saya banyak menghabiskan masa dengan diri sendiri. PKP mengembalikan semula perasaan cinta saya terhadap lukisan," katanya.

Baru sahaja menganjurkan pameran solo karya seni visual di Singapura, bulan lalu bertemakan Gerak Intuisi, Khairul Anwar memasang impian mengadakan acara sama di Malaysia.
Baru sahaja menganjurkan pameran solo karya seni visual di Singapura, bulan lalu bertemakan Gerak Intuisi, Khairul Anwar memasang impian mengadakan acara sama di Malaysia.

Setiap pelukis pasti mempunyai cara dan identiti dalam lukisan yang dihasilkan. Khairul Anwar tidak ketinggalan memiliki 'tanda dagang' dalam karyanya.

"Lukisan saya banyak dipengaruhi elemen pergerakan seperti tarian. Disebabkan itu, saya banyak menonton persembahan dalam dan luar negara serta menjadikan setiap apa yang saya tonton itu sebagai sumber inspirasi.

"Kemudian, saya beralih kepada lukisan berkonsep abstrak. Lukisan sebegitu adalah terjemahan kepada reaksi saya terhadap persekitaran termasuk isu semasa," katanya.

Baru sahaja menganjurkan pameran solo karya seni visual di Singapura, bulan lalu bertemakan Gerak Intuisi, Khairul Anwar memasang impian mengadakan acara sama di Malaysia.

"Kalau bukan akhir tahun ini, mungkin tahun depan. Kalau hendak mudah, lokasinya mungkin di Galeri Prima di Balai Berita, Bangsar, Kuala Lumpur.

"Tetapi ada pihak mempelawa saya mengadakan pameran itu di lokasi lain. Apapun, semuanya masih lagi dalam perbincangan dan bergantung kepada jenis pengunjung yang mahu diundang.

"Untuk pameran itu nanti, saya harap dapat pamerkan semua karya seni visual saya termasuk yang sudah dibeli atau yang tersimpan di galeri dan muzium seni di Singapura.

"Saya mahu pengunjung lihat sendiri fasa peralihan karya yang dihasilkan sejak mula aktif melukis sehinggalah hari ini," katanya.

Nama galeri Tiga Tekko Studio diabadikan sempena judul lukisan paling mahal dibeli Galeri Kebangsaan Singapura iaitu A Study Of 3 Thermos Flasks yang dihasilkan pada 1991.

Setiap kali melukis, Khairul Anwar suka ditemani muzik kegemaran seperti jazz dan lagu Datuk M Nasir dan Ebiet G Ade.

Berita Harian X