KUALA LUMPUR: Pelakon Emma Maembong dinasihati doktor bersedia antara tiga hingga empat minggu lebih awal untuk melahirkan anak kedua yang kini sudah memasuki fasa trimester ketiga.
Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail, 31, berkata ia berdasarkan pengalaman melahirkan anak pertamanya, Shariq Gabrie yang kini berusia dua tahun.
"Doktor maklumkan sepatutnya tarikh kelahiran pada 6 Mei depan, tetapi mengikut pengalaman pertama, anak akan lahir antara tiga hingga empat minggu awal daripada tarikh diberikan.
"Jadi, doktor memaklumkan untuk saya bersedia pada 15 hingga 19 April ini. Kalau ikutkan sekarang saya sudah mula rasa mengah.
"Kali terakhir buat pemeriksaan doktor mendapati bayi sudah berada di posisi betul dan saya perlu bersedia," katanya kepada BH Online.
Terdahulu, menerusi perkongsian di Instagram (IG), Emma membuat kejutan kepada suaminya, Muhammad Shazli Azhar, 35, dengan memberikan kotak berisi kit kehamilan sebelum mendedahkan bayi dalam kandungannya adalah lelaki.
Sementara itu, mengulas alahan dialami, pelakon filem Kimchi Untuk Awak itu berkata, kali ini lebih teruk berbanding kehamilan pertama.
"Jika mahu dibandingkan, alahan mengandung anak kedua ini lebih teruk. Tetapi, saya tetap bersyukur apabila dapat puasa penuh.
"Kalau mengandung anak pertama dahulu tak boleh puasa langsung, tetapi alahan biasa sahaja. Untuk kali ini situasinya terbalik pula.
"Kadang-kadang kalau makan saya akan muntah semula dan perkara ini berlaku sampai sekarang," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Rizman Ruzaini di sebuah hotel, kelmarin.
Mengulas persiapan, Emma mengakui, banyak belajar daripada pengalaman mengandung kali pertama, bagaimanapun tetap bersedia dengan sebarang kemungkinan.
Malah, katanya, kali ini tidak mahu terlalu boros membeli pelbagai barangan bayi, sebaliknya menggunakan apa sahaja yang sudah ada.
"Memang tiada beli apa-apa untuk saya dan bayi yang akan lahir. Cuma, bila sudah lahir barangan keperluan seperti lampin pakai buang kami akan beli.
"Kesilapan saya semasa mengandungkan anak pertama, saya beli barang yang tidak sepatutnya dan agak boros.
"Bila sudah lahir, semua barangan tak digunakan, jadi sangat membazir. Saya belajar daripada kesilapan dan tak mahu boros lagi," katanya.
Emma melangsungkan perkahwinan bersama Muhammad Shazli yang juga juruterbang pada 20 Februari 2020.