Khamis, 30 March 2023 | 11:00am
Sophia terpaksa telan cercaan dikaitkan dengan isu penyondol. - Foto IG Sophia Albarakbah
Sophia terpaksa telan cercaan dikaitkan dengan isu penyondol. - Foto IG Sophia Albarakbah

Sakit, emosi kacau bilau digelar 'penyondol'

KUALA LUMPUR: Selepas digelar 'penyondol' apabila dituduh cuba mengganggu keharmonian rumah tangga pasangan Aliff Aziz dan Bella Astillah, pelakon sensasi, Sophia Albarakbah, 30, hanya mampu mendiamkan diri.

Atas alasan memberi fokus menghabiskan penggambaran drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah yang menggandingkannya dengan Aliff, Sophia membiarkan cacian dan kata nista dilemparkan kepadanya tanpa mempertahankan diri.

Kini, penggambaran drama arahan Osman Ali dan Yus Yusop yang disiarkan di slot Akasia, TV3 itu sudahpun selesai.

Walaupun timbul gosip hubungan Sophia dan Aliff dingin di lokasi penggambaran, sebaik isu penyondol jadi bualan hangat, Sophia akhirnya bersuara.

Sophia berkata, dia tidak boleh menutup mulut orang mencerca bukan-bukan. Orang mengata tanpa mengetahui apa yang berlaku dan berdasarkan apa yang dibaca.

"Sejujurnya, memang sakit dan emosi jadi kacau bilau, lebih lagi, saya masih dalam proses penggambaran. Tetapi, bila emosi terganggu, saya mendapat sokongan keluarga dan pasukan produksi.

"Saya baru sahaja selesai penggambaran drama, baru-baru ini. Bila ada sokongan baik, saya tidak tertekan sangat walaupun perasaan memang sakit.

"Dan pada masa sama, kesakitan boleh digunakan ketika saya berlakon," katanya kepada BH Online.

Mengulas adakah lega dan tak perlu berhadapan dengan Aliff lagi, Sophia berkata, dia lega apabila penggambaran berjam-jam seharian dilakukan atas kerja keras berpasukan, akhirnya dapat rehat.

"Alhamdulillah, seluruh naskhah sudah diselesaikan dengan baik. Saya kini sedang berehat," katanya.

Ditanya pandangan apabila Aliff tidak mahu bekerjasama dengannya lagi, Sophia berkata, dia menghormati keputusan Aliff yang memutuskan enggan bergandingan dengannya selepas kontroversi tercetus.

"Saya tak boleh cakap apa-apa sebab Aliff berhak dengan keputusannya.

"Tetapi, kami sangat profesional biarpun orang cakap dingin atau fikir apa sahaja. Saya dan Aliff bersikap matang di lokasi sebab ini adalah kerja dan kami diberikan tanggungjawab untuk kerja.

"Takkan kami tidak mahu bertanggungjawab selepas apa yang berlaku. Kasihan pada pasukan produksi yang berusaha menjayakan naskhah ini. Jadi, apabila kerja, kami buat sahajalah kerja.

"Setiap orang berhak ada keputusan masing-masing, saya tiada hak nak marah," katanya.

Sophia sudah lama menjalinkan hubungan cinta dengan seorang doktor yang dirahsiakan identiti. - Foto IG Sophia Albarakbah
Sophia sudah lama menjalinkan hubungan cinta dengan seorang doktor yang dirahsiakan identiti. - Foto IG Sophia Albarakbah

Tambah Sophia, dia tidak berkecil hati apabila ada rakan artis menghentam dengan isu penyondol.

"Ada orang sokong saya, ada pula sokong sebelah sana. Semua orang ada hak untuk berkongsi pendapat masing-masing.

"Jadi, saya tak perlulah saya marah atau berkecil hati. Mungkin orang yang memberi komen pun tidak tahu cerita sebenar.

"Terpulang mereka nak komen dan anggap apa sahaja. Saya tak perlu nak membenci," katanya.

Katanya, dia tidak serik bergandingan dengan hero berstatus suami orang

"Bagi saya, ia bukan bergantung pada status, tetapi sikap individu itu sendiri. Takkan hanya sebab suami orang saya nak menolak bergandingan bersama," katanya.

Sophia berkata, sebagai artis, dia memang tidak boleh lari dihimpit kontroversi, sentiasa akan ada isu.

"Saya sudah menyiapkan diri untuk masa depan. Saya memilih lakonan sebagai kerjaya kerana saya minat, bukan mahu mencari publisiti atau populariti.

"Saya percaya populariti akan datang dengan hasil kerja, jadi saya kena bersiap sedia dan telan apa yang datang.

"Saya bersyukur teman lelaki banyak memberi sokongan untuk saya menjadi lebih kuat.

"Teman lelaki dan keluarga sering menjadi kekuatan, jadi saya sangat menghargai mereka yang berada di sekeliling saya," katanya.

Terdahulu, Sophia didakwa mengganggu keharmonian rumah tangga Aliff dan Bella menerusi hantaran mesej dan panggilan kepada jejaka berkenaan.

Isu penyondol bertambah hangat apabila Bella memuat naik tangkap layar perbualannya bersama individu dipercayai Sophia yang disyaki mengganggu rumah tangganya dalam Instagram (IG).

Berita Harian X