Rabu, 29 March 2023 | 1:25pm
Sebelum ini, Pachara sudah memfailkan perceraian secara baik pada 26 Ogos tahun lalu, namun Afiq tidak pernah hadir dan gagal dikesan. - NSTP/Genes Gulitah
Sebelum ini, Pachara sudah memfailkan perceraian secara baik pada 26 Ogos tahun lalu, namun Afiq tidak pernah hadir dan gagal dikesan. - NSTP/Genes Gulitah

Afiq tak beri nafkah sejak 2021

SHAH ALAM: Tidak beri nafkah antara 2021 hingga Oktober 2022 menjadi alasan isteri pelakon Afiq Muiz, Pachara Apin membuat permohonan tuntutan cerai secara fasakh di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini, pagi tadi.

Perkara itu dimaklumkan peguam syarie, Suriati Ab Ghani yang mewakili Pachara ketika ditemui selepas prosiding kes di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh.

Suriati berkata, sebelum ini, anak guamnya selaku plaintif sudah memfailkan perceraian secara baik pada 26 Ogos tahun lalu.

"Bagaimanapun, suaminya (Afiq) tidak pernah hadir dan gagal dikesan sehingga anak guam terpaksa membuat permohonan cerai secara tuntutan fasakh pada Oktober 2022," katanya.

Fasakh bermaksud pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu perkara yang diharuskan oleh hukum syarak.

Antara perkara yang mengharuskan fasakh apabila suami atau isteri tidak diketahui di mana mereka berada selama tempoh lebih dari satu tahun.

Terdahulu, semasa prosiding hari ini, peguam syarie turut memaklumkan kepada mahkamah Afiq selaku defendan tidak pernah hadir atau memberi maklum balas terhadap permohonan anak guam meskipun penyampaian melalui iklan sudah dibuat.

Mahkamah menetapkan 6 April depan bagi prosiding Pachara tampil memberi keterangan. - NSTP/Genes Gulitah
Mahkamah menetapkan 6 April depan bagi prosiding Pachara tampil memberi keterangan. - NSTP/Genes Gulitah

Semasa prosiding Hakim Syarie turut bertanya, "Defendan (Afiq) tidak pernah hadir ke mahkamah?"

Menjawab pertanyaan itu, peguam syarie berkenaan kemudian mengesahkan defendan tidak pernah hadir.

Justeru, mahkamah menetapkan 6 April depan bagi prosiding seterusnya dengan Pachara atau nama Islamnya, Nur Aaira Mahdeya, 32, tampil memberi keterangan.

Untuk rekod, Afiq mendirikan rumah tangga dengan Pachara pada 27 Mac 2019 selepas setahun berkenalan di lokasi penggambaran drama Air Mata Syurga.

Pada November tahun lalu, media melaporkan Afiq membuat laporan polis berhubung dakwaan isterinya yang dianggap fitnah.

Pemilik nama lengkap Muhammad Afiq Muiz, 31, itu menyerahkan kepada peguam untuk tindakan susulan berhubung tuduhan kaki pukul dilemparkan wanita itu.

Sebelum ini, Pachara yang berasal dari Ranau, Sabah memuat naik kenyataan dalam Facebook dan TikTok mendakwa Afiq pernah mengasarinya sehingga membuatkan kaki dan jarinya patah.

Kenyataan tersebut mendapat komen balas adik Afiq, Aishah Azman yang bengang dengan tindakan Pachara membuat kenyataan palsu dalam media sosial.

Berita Harian X