KUALA LUMPUR: Isteri kepada pelakon Aliff Aziz, Bella Astillah sudah memaafkan Sophia Albarakbah yang didakwa cuba mengganggu keharmonian rumah tangganya.
Bagaimanapun, tegas Bella, ibarat parut, perbuatan Sophia akan terus kekal dalam ingatannya sampai bila-bila.
"Saya sudah pun memaafkan demi memperbaiki rumah tangga dan ketenangan diri walaupun sangat sukar.
"Justeru, saya banyak melakukan aktiviti bersama Aliff dan anak-anak. Dengan harapan, tidak akan ada lagi masalah yang timbul.
"Namun, saya sedar tidak boleh lari kerana ujian akan berterusan. Jujurnya, saya sangat takut menghadapinya," katanya kepada BH Online.
Mengulas pengakuan Sophia yang mengatakan sudah memiliki teman lelaki, Bella mendoakan semoga hubungan itu kekal hingga ke syurga.
"Sebenarnya sama ada sudah memiliki teman lelaki atau wanita, ia sama macam kita sudah ada isteri atau suami.
"Boleh sahaja nak ada skandal lain, betul tak? Apapun semoga Sophia bahagia, kekal hingga ke jenjang pelamin dan jannah. Insya-Allah.
"Dan harapnya selepas ini tiada cerita sama timbul. Tetapi, apa yang mahu dilakukan di luar kemampuan kita," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama anak yatim anjuran Universal Music Malaysia, semalam.
Ditanya apakah bersedia bekerjasama dengan Sophia pada masa akan datang jika diberi tawaran, Bella berkata, dia dan Aliff sudah tutup buku dan enggan dikaitkan dengan wanita itu.
"Saya dan Aliff sudah berbincang, malah suami menyatakan tidak akan bekerjasama dengan Sophia lagi.
"Sama dengan saya. Apapun, saya akan hentikan di sini," ujarnya.
Kontroversi mula tercetus apabila Bella mendedahkan seorang pelakon wanita berkali-kali membuat panggilan telefon dan menghantar pesanan kepada suaminya sehingga menggugat keharmonian rumah tangganya.
Bagaimanapun, Bella tidak mendedahkan identiti pelakon tersebut, namun warganet mula menyerang Sophia dalam Instagram sehingga memaksa pelakon itu mengehadkan ruangan komen.
Pada 1 Februari lalu, Aliff mengesahkan wanita yang didakwa mengganggu rumah tangganya adalah Sophia Albarakbah yang juga heroin gandingan dalam drama rantaian, Ku Akad Kau Dengan Bismillah.