Rabu, 29 March 2023 | 8:30am
Siti bersama Jay Jay, Ernie Zakri dan pengarah muzik, Aubrey Suwito pada sidang media Konsert Satu Suara Siti Nurhaliza Volume 3 di ibu negara, baru-baru ini. - NSTP/Aziah Azmee
Siti bersama Jay Jay, Ernie Zakri dan pengarah muzik, Aubrey Suwito pada sidang media Konsert Satu Suara Siti Nurhaliza Volume 3 di ibu negara, baru-baru ini. - NSTP/Aziah Azmee

'Bukan nak tunjuk siapa lebih bagus'

KUALA LUMPUR: Menyoroti perjalanan lebih dua dekad bintang ini dalam belantara seni, ratusan konsert sudah dijayakan Datuk Seri Siti Nurhaliza, baik di Malaysia mahu pun luar negara.

Sepanjang tempoh itu, boleh dikatakan hampir semua lokasi ikonik dan pentas berprestij pernah menjadi tempat persinggahan Siti menghiburkan peminat.

Justeru, apabila penyanyi bersuara emas ini mahu menganjurkan Konsert Satu Suara Siti Nurhaliza Volume 3 yang bakal menyaksikan beliau berganding dengan penyanyi 'otai', Jay Jay dan Ernie Zakrie, timbul pertanyaan apa lagi yang dimahukan Siti?

Menjawab kemusykilan itu, penyanyi Biarlah Rahsia ini menjelaskan ketika ini, apa sahaja yang dilakukan, niatnya hanyalah untuk mencurah bakti kepada masyarakat.

"Selain daripada untuk menghiburkan penonton, matlamat Siti mengadakan konsert sebagai suatu bentuk pulangan semula kepada masyarakat yang sudah lebih dua dekad menyokong karier Siti.

"Melalui pertubuhan kebajikan, Yayasan Nurjiwa yang saya dan suami tubuhkan, hasil kutipan konsert akan disalurkan bagi membantu golongan memerlukan," katanya.

Malah, tambah Siti, penganjuran Konsert Satu Suara Volume 3 itu bukanlah kerana mahu bersaing atau dibanding-bandingkan dengan penyanyi lain.

"Siti mahu penonton yang menyaksikan persembahan Siti agar saling menghargai walaupun kita ada pilihan atau minat terhadap penyanyi berbeza.

"Kiranya niat Siti adalah supaya peminat dapat berkumpul dan meraikan. Bukan hendak lihat siapa yang lebih bagus atau sebaliknya," katanya pada sidang media Konsert Satu Suara Siti Nurhaliza Volume 3 di sebuah premis acara di ibu negara, baru-baru ini.

Konsert anjuran Yayasan Nurjiwa dengan kerjasama Siti Nurhaliza Production (SNP) itu menyaksikan Siti berkolaborasi dengan dua penyanyi hebat dari dua era berbeza iaitu Jay Jay yang popular pada 1970-an dan Ernie Zakri (2000).

Hasil jualan tiket konsert yang dipentaskan di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur, pada 13 Mei depan akan disalurkan kepada Yayasan Nurjiwa.

Siti akan menggunakan dana terkumpul untuk membiayai projek pembangunan Sekolah Kanak-Kanak Afwa Al-Afiyah di Gaza yang dibukanya sejak dua tahun lalu. - NSTP/Aziah Azmee
Siti akan menggunakan dana terkumpul untuk membiayai projek pembangunan Sekolah Kanak-Kanak Afwa Al-Afiyah di Gaza yang dibukanya sejak dua tahun lalu. - NSTP/Aziah Azmee

Dana terkumpul antaranya akan digunakan untuk membiayai projek pembangunan Sekolah Kanak-Kanak Afwa Al-Afiyah di Gaza yang dibuka Siti, sejak dua tahun lalu.

Mengulas konsep yang akan diketengahkan pada Konsert Satu Suara Siti Nurhaliza Volume 3, Siti berkata, seperti dua konsert di bawah jenama sama yang pernah dianjurkannya, beliau akan berpadu suara dengan Jay Jay dan Ernie.

"Buat masa ini, kami masih dalam proses pemilihan lagu. Seperti yang kita ketahui, Jay Jay ada banyak lagu sedap-sedap dan ramai hafal.

"Sama juga dengan Ernie. Ketika Siti mula-mula hendak buat konsert ini, memang nama dua penyanyi ini yang muncul dalam fikiran.

"Siti fikir gandingan kami menepati konsep yang Siti mahukan iaitu sebuah konsert yang menyatukan penyanyi daripada generasi berbeza," katanya.

Sementara itu, Jay Jay menyifatkan tawaran mementaskan konsert bersama Siti sebagai peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan.

"Apabila Siti menyatakan hasrat mengundang saya menjayakan konsert ini, saya tidak fikir panjang dan terus bersetuju.

"Bukan mudah hendak dapat peluang seperti ini. Disebabkan konsert ini berlangsung dalam suasana Hari Raya dan sambutan Hari Ibu, mungkin kami akan selitkan lagu yang sesuai," kata bekas vokalis kumpulan Carefree ini.

Bagi Ernie pula, undangan yang dilayangkan pemenang trofi Anugerah Sri Perak, Anugerah Bintang Popular BH 2012 itu ibarat bulan jatuh ke riba.

"Sejujurnya, angan-angan untuk berpadu suara dengan Siti sudah lama tersimpan dalam hati iaitu sebelum saya menjadi penyanyi lagi.

"Walaupun ketika tawaran tiba, saya terikat dengan komitmen, namun, saya cuba usahakan agar impian saya jadi kenyataan.

"Alhamdulillah segala urusan dipermudahkan dan dapat saya menjayakan konsert ini serta menunaikan impian yang lama tersimpan," katanya.

Pada siri pertama iaitu konsert Volume 1, Siti bergabung dengan Faizal Tahir dan Aizat Amdan, manakala Volume 2 menyaksikan beliau berpadu suara dengan dua legenda iaitu Datuk Ramli Sarip dan Hetty Koes Endang.

Maklumat pembelian tiket boleh didapati di www.myticket.asia.

Berita Harian X