KUALA LUMPUR : Mahu mengimarahkan Ramadan demi meraih keampunan Allah SWT, penyanyi, Anuar Zain, 53, menyimpan niat mengerjakan solat tarawih di seberapa banyak masjid mengikut kemampuannya, di sepanjang bulan penuh keberkatan ini.
Akui Anuar, solat tarawih menjadi antara aktiviti paling dinantikan setiap kali tibanya Ramadan, sejak dahulu lagi.
"Saya dan kawan merancang untuk berjalan dan menunaikan tarawih di masjid berbeza setiap malam. Kadang-kadang kita solat tarawih di rumah sahaja, tetapi, lebih seronok jika kita pergi berjemaah di masjid.
"Hari ini, di sebuah masjid di sini, esok masjid lain pula. Selagi boleh, saya mahu tunaikan solat tarawih penuh sampai ke penghujung Ramadan. Sayang kalau tinggal.
"Namun, kalau tidak sempat, misalnya jika ada urusan kerja, saya solat di rumah sahaja. Macam mana pun, saya tetap usahakan pergi ke masjid sebab seronok dapat berjumpa kawan-kawan dan sahur bersama.
"Pada bulan lain, kita tidak boleh buat perkara sebegini," katanya.
Anuar yang popular dengan lagu Sedetik Lebih berkata, dia mempunyai banyak waktu senggang berikutan sepanjang Ramadan, tidak banyak tawaran atau 'job' diterima. Sehubungan itu, Anuar mahu lebih fokus kepada ibadat sepanjang bulan ini.
Anuar juga masih mengikuti program bersama jemaah tabligh yang disertai sejak dua tahun lalu. Kali terakhir, Anuar mengikut aktiviti bersama kumpulan terbabit, beberapa bulan lalu.
"Saya masih sertai jemaah tabligh, namun, buat masa ini, saya berehat seketika. Saya merancang kembali aktif jika ada kelapangan. Saya seronok dapat sertai aktiviti keagamaan bersama jemaah ini," katanya ditemui pada majlis pelancaran Flourishes 2023: Konsert Gala Seri Puteri Simfonik Winds di Istana Budaya di ibu negara, baru-baru ini.
Mengenai program Flourishes 2023: Konsert Gala Seri Puteri Simfonik Winds di Istana Budaya pada 20 Mei depan, Anuar kagum dengan kebolehan kumpulan orkestra merangkumi pelajar Sekolah Seri Puteri (SSP), Cyberjaya, dalam mementaskan acara berkenaan.
Anuar terharu diundang membantu pelajar terbabit mengumpul dana untuk menyertai pertandingan International Orchestra Festival and Competition Golden Sardana di Barcelona, Sepanyol mulai 12 September depan.
"Saya teruja apabila mendapat tahu mengenai SPWinds ini. Saya terkejut dan tidak sangka kita ada anak-anak yang mempunyai bakat bertaraf antarabangsa dalam bermain muzik.
"Melihat kemampuan mereka, saya bangga sebab dapat lihat industri muzik kita boleh pergi lebih tinggi dan cemerlang dengan adanya puteri-puteri hebat ini.
"Mereka ada harapan untuk terus berkembang. Jadi, saya berbesar hati untuk memberi sokongan di mana saya akan nyanyikan tiga lagu diiringi pelajar terbabit pada malam itu.
"Kami akan berlatih dan diharap, pada sesi itu kami boleh berseronok. Tiga lagu yang bakal didendangkan itu adalah sebuah lagu saya, manakala dua lagu penyanyi lain, namun, cukup bermakna buat saya," katanya.
Bakal bekerjasama dengan pemuzik simfoni remaja berusia antara 14 tahun hingga 17 tahun, Anuar mengaku berdebar menanti saat itu.
Namun, Anuar percaya pemuzik terbabit profesional, komited dan bersungguh-sungguh dengan minat mereka terhadap dunia muzik.
"Saya percaya kami akan mudah serasi. Ketika saya tegur, mereka jawab dengan pantas. Tidak seperti anak-anak yang malu untuk bercakap.
"Melihatkan reaksi itu, saya dapat rasa kami serasi untuk bekerjasama. Cuma, kami perlukan masa dan Insya-Allah, semuanya lancar," katanya yang menganggap kumpulan pemuzik remaja itu cerdas dan bijak.
Mengenai konsert solo, Anuar sedia menimbang permintaan peminat untuk mementaskan acara itu, namun, belum ada butiran lanjut dapat dikongsi.
SPWinds atau 'wind orchestra' yang ditubuhkan di SSP sejak 1976 pernah mengharumkan nama negara pada acara di Carnegie Hall di New York, Amerika Syarikat (AS) dan Golden Hall Musikverein di Vienna, Austria.
Kumpulan orkestra remaja itu menyasar sumbangan RM900,000 bagi membolehkan mereka menyertai pertandingan di Sepanyol, September depan.
SSP diiktiraf sebagai School of Global Excellence (SGE) oleh Kementerian Pendidikan.