Jumaat, 24 March 2023 | 8:30am
Persembahan Ratu Rock, Ella membuai perasaan penonton menerusi untaian klasik, Sepi Sekuntum Mawar Merah dan Sembilu. - NSTP/Amiruddin Sahib
Persembahan Ratu Rock, Ella membuai perasaan penonton menerusi untaian klasik, Sepi Sekuntum Mawar Merah dan Sembilu. - NSTP/Amiruddin Sahib

Konsert amal kutip RM30,000 bantu badan kebajikan

KUALA LUMPUR: Konsert bertaraf mega. Itulah gambaran dapat diberikan terhadap konsert amal, Qew Communications Sdn Bhd 10 Years Anniversary Gala Night X Charity Concert yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini apabila tetamu dihiburkan dengan penyanyi tersohor dan bertaraf legenda.

Bukan mudah melihat artis yang berada dalam senarai gred A berkongsi pentas, namun tetamu sangat bertuah apabila nama besar seperti Datuk Ramli Sarip, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Awie, Ella dan Dayang Nurfaizah tampil menghiburkan.

Tirai konsert dibuka dengan segmen 'Solidariti for Iskandar Spring' yang menampilkan persembahan Ameng Spring menerusi lagu Sampai hati, manakala Syafiq Farhain menyampaikan lagu yang dipopularkan arwah bapanya, Allahyarham Saleem dari kumpulan Iklim berjudul Suci Dalam Debu.

Nyanyian Ameng dan Syafiq diiringi petikan piano oleh Belle Fatah.

Kemudian pentas diambil alih oleh Khadijah dengan menyanyikan lagu Ku Gembira Di Sampingmu. Terserlah aura seorang penghibur apabila Khadijah atau lebih dikenali dengan panggilan Khaty berjaya memeriahkan suasana dengan vokal dan komunikasi bersahaja.

Malah, Khadijah sempat mengusik tetamu sebelum menari dengannya, sambil menyanyikan lagu I Will Always You.

Tetamu kemudian dibawa menyingkap kenangan silam menerusi lagu Doa Buat Kekasih hasil paduan suaranya dengan Ramli.

Penyanyi jolokan Papa Rock itu mengubah suasana majlis daripada formal kepada sedikit santai apabila mendendangkan lagu Kamelia dan Teratai, sekali gus mengundang jeritan penonton.

Ini disusuli persembahan Ratu Rock, Ella yang membuai perasaan penonton menerusi untaian klasik, Sepi Sekuntum Mawar Merah dan Sembilu.

Khadijah berpadu suara bersama penyanyi jolokan Papa Rock, Ramli Sarip menerusi lagu popular, Doa Buat Kekasih. - NSTP/Amiruddin Sahib
Khadijah berpadu suara bersama penyanyi jolokan Papa Rock, Ramli Sarip menerusi lagu popular, Doa Buat Kekasih. - NSTP/Amiruddin Sahib

Suasana menjadi gamat saat Awie muncul di pentas membawakan lagu Di Penjara Janji yang sangat menguji kemampuannya membawakan lagu bernada tinggi.

Vokalis kumpulan Wings itu menutup tirai konsert dengan lagu popular Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee berjudul Madu Tiga.

Semua artis diiringi oleh barisan pemuzik profesional tanah air iaitu Ritz Metalasia, Helmi, Ude Wahid, Ujang Exist, Robot dan lain-lain.

Terdahulu, konsert amal itu melepasi sasaran apabila berjaya mengumpul lebih RM30,000 untuk disalurkan kepada tiga pertubuhan terpilih dalam usaha membantu mereka yang kurang berkemampuan.

Tiga pertubuhan termasuklah Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Pertubuhan Kebajikan Niq Ehsan Malaysia (PKNEM) dan Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN).

Mengulas pemilihan tiga pertubuhan itu, Pengarah Qew Communications, Datin Nor Rahizahwati Yahya memaklumkan pertubuhan terbabit berkongsi objektif penubuhan sama.

"Setiap badan kebajikan dipilih mempunyai agenda sama, iaitu membantu golongan yang memerlukan," katanya.

Selain hasil jualan meja, kutipan sebanyak RM5.000 juga berjaya dikumpul menerusi hasil penjualan gitar yang dilakukan secara bidaan dan disalurkan kepada badan kebajikan secara bersasar.

Berita Harian X