Rabu, 22 March 2023 | 8:40pm
Naim tidak menyangka mampu mengukir kejayaan sebaris Michelle Yeoh, Siti Nurhaliza dan Lee Chong Wei apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR). - Foto IG Naim Daniel
Naim tidak menyangka mampu mengukir kejayaan sebaris Michelle Yeoh, Siti Nurhaliza dan Lee Chong Wei apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR). - Foto IG Naim Daniel

Persembahan Naim tergantung, terbalik diiktiraf Malaysia Book of Records

KUALA LUMPUR: Persembahan Naim Daniel menyanyi secara tergantung dan terbalik ketika Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL 37) mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR), petang tadi.

Penyanyi berusia 26 tahun yang mempersembahkan lagu Mainan pada acara berprestij itu meluahkan perasaan terharu dengan pengiktirafan yang dianggap penanda aras baru untuk kerjaya seninya.

Naim atau nama sebenarnya, Muhammad Daniel Baharin berkata, dia tidak menyangka mampu mengukir kejayaan sebaris nama hebat seperti Datuk Michelle Yeoh, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Lee Chong Wei.

"Perasaan saya lebih kepada terharu apabila dimaklumkan mengenai pengiktirafan ini.

"Pengiktirafan ini membakar semangat untuk terus menghasilkan sesuatu di luar kotak.

"Secara tidak langsung saya berjaya membuktikan anak muda juga sukakan pembaharuan, tetapi perlu ada tekad tinggi," katanya.

Naim berani mati apabila menyanyi dalam keadaan tergantung dan terbalik ketika menjayakan Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL 37), bulan lalu. - Foto IG Naim Daniel
Naim berani mati apabila menyanyi dalam keadaan tergantung dan terbalik ketika menjayakan Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL 37), bulan lalu. - Foto IG Naim Daniel

Katanya, pengiktirafan yang diterima sedikit sebanyak mengubati kekecewaan penyokong atas kegagalan membawa pulang trofi pada AJL 37 yang berlangsung, bulan lalu.

"Memang terasa segala susah payah menyanyi dalam keadaan tergantung dan terbalik berbayar dengan pengiktirafan yang disifatkan cukup besar daripada segala-galanya.

"Saya tidak pernah mempedulikan komen orang terhadap persembahan sebelum ini. Bagi saya, semua orang berhak memberikan komen.

"Saya anggap setiap komen sebagai pembakar semangat. Apa yang penting, saya perlu berani, barulah akan dapat habuannya," katanya.

Bagi menjayakan persembahan secara tergantung dan terbalik, Naim menjalani latihan antara tiga hingga empat hari.

Selain itu, Naim turut mendapatkan khidmat nasihat doktor dan dilakukan di bawah pemantauan pihak profesional termasuk pasukan produksi TV3 dengan latihan dan persiapan rapi.

Malah, Naim juga tidak makan dan minum beberapa jam sebelum persembahan sebagai langkah berjaga-jaga.

Berita Harian X