Selasa, 21 March 2023 | 3:00pm
Liza menyifatkan kemunculan ramai bakat baharu memberi impak positif terhadap perkembangan industri lakonan. - NSTP/Aziah Azmee
Liza menyifatkan kemunculan ramai bakat baharu memberi impak positif terhadap perkembangan industri lakonan. - NSTP/Aziah Azmee

Gandakan usaha bila genggam trofi

KUALA LUMPUR: Aktres senior, Liza Abdullah, 59, berharap bintang muda yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan tidak hanyut dalam arus populariti, sebaliknya perlu konsisten mengasah bakat lakonan.

Liza yang mula aktif dalam dunia persada seni sejak era 1980-an berkata, seseorang pelakon perlu memastikan niatnya berada di landasan tepat sekiranya mahu berjaya dan terus kekal relevan dalam bidang seni.

"Menjadi pelakon tidak akan kekal lama dalam industri. Apa sahaja pekerjaan dalam bidang seni sama dengan pekerjaan lain. Jadi, tindakan yang bakal diambil perlulah atas dasar niat yang betul.

"Cuba buat yang terbaik dalam setiap pekerjaan dan kalau dapat anugerah anggap sebagai adalah bonus untuk buat lebih baik pada masa akan datang.

"Dalam industri seni ini, jika mahu naik sangat senang, tetapi untuk terus memastikan diri kekal relevan itulah yang menjadi cabarannya," katanya kepada BH Online.

Liza ketika rakaman program Cubit-Cubit Manja Muzikal - Kenduri Kahwin di Bizmilla Place Ballroom, Subang Jaya, baru-baru ini. - NSTP/Aziah Azmee
Liza ketika rakaman program Cubit-Cubit Manja Muzikal - Kenduri Kahwin di Bizmilla Place Ballroom, Subang Jaya, baru-baru ini. - NSTP/Aziah Azmee

Dalam masa sama, Liza yang juga penerima trofi kategori Watak Antagonis Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 berkata, pelakon baharu yang sudah menerima penganugerahan perlu terus berusaha memberikan yang terbaik.

"Kalau rasa hebat, kita kena ingat ada lagi lebih baik. Kita semua perlu ingat peredaran masa, boleh jadi sekarang kita berjaya, tetapi kemudian hari belum tentu lagi.

"Sudah tentu anugerah diterima memberi suntikan semangat, cuma saya berharap benar-benar bersemangat dengan apa yang dilakukan.

"Jangan bila dapat anugerah, seseorang pelakon merasakan dirinya sudah hebat, itu sahaja yang saya mahu ingatkan," katanya ditemui pada rakaman program Cubit-Cubit Manja Muzikal - Kenduri Kahwin di Bizmilla Place Ballroom, Subang Jaya, baru-baru ini.

Liza menyifatkan kemunculan ramai bakat baharu memberikan impak positif terhadap perkembangan industri lakonan.

"Melihatkan kemunculan ramai pelakon baharu sangat bagus. Bagi saya, setiap baharu pasti ada yang lama, begitu juga sebaliknya.

"Jadi, ini adalah perkembangan sangat positif, lebih lagi ramai pelakon baharu sudah mula menerima anugerah mahupun pengiktirafan," katanya.

Berita Harian X