Jumaat, 17 March 2023 | 5:00pm
Nadiya berguru dengan Farah untuk menghayati watak ibu yang membesarkan lima cahaya mata sendirian. - NSTP/Aziah Azmee
Nadiya berguru dengan Farah untuk menghayati watak ibu yang membesarkan lima cahaya mata sendirian. - NSTP/Aziah Azmee

Nadiya masih berguru, tuntut ilmu demi watak

KUALA LUMPUR: Pengalaman dua dekad dalam belantara seni lakonan, kewibawaan Nadiya Nisaa sebagai pelakon berkarakter tidak perlu dipersoalkan lagi.

Berilah apa sahaja watak sama ada romantik, lucu, marah dan sedih, semuanya dapat dilunaskan Nadiya dengan berkesan.

Masih terbayang lakonan hebat dalam drama rantaian, Adam dan Hawa bergandingan dengan Datuk Aaron Aziz pada 2012 hingga berjaya mencetuskan fenomena, sekali gus membuatkan namanya meledak dan meniti di bibir peminat.

Kehebatan Nadiya bukan sekadar meraih pujian ramai, malah turut mendapat pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai Pelakon Harapan Wanita, Festival Filem Malaysia Ke-24 menerusi watak Manis dalam filem Cun arahan Osman Ali.

Meskipun pernah berlakon filem arahan sutradara hebat serta memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM27, namun semua itu masih belum mampu memuaskan hati pelakon kelahiran Gombak, Selangor ini.

Kata Nadiya, dia akan tetap menuntut ilmu bersama mereka yang berpengalaman demi menghasilkan mutu lakonan berkualiti.

"Ya, sampai sekarang saya masih berguru untuk memantapkan lagi kualiti lakonan. Saya ada drama baharu sempena Ramadan di mana jalan cerita dan watak dibawakan sangat berat.

"Untuk drama ini, saya memilih pelakon Farah Ahmad dan ada tiga sesi pembelajaran dengannya. Ini kerana skrip yang datang mengikut fasa penggambaran dijalankan.

"Setiap kali terima skrip, saya akan berguru. Saya memilih Farah kerana setiap guru ada kekuatan masing-masing.

"Watak dalam naskhah ini saya menjadi ibu membesarkan lima cahaya mata sendirian.

"Secara tiba-tiba, nama Farah menerpa dalam ingatan. Saya rasa Farah paling sesuai untuk membimbing saya membawakan watak ini," katanya kepada BH Online.

Nadiya harus bertanggungjawab terhadap hasil kerja dan perlu menunjukkan kesungguhan ketika berkarya. - NSTP/Aziah Azmee
Nadiya harus bertanggungjawab terhadap hasil kerja dan perlu menunjukkan kesungguhan ketika berkarya. - NSTP/Aziah Azmee

Sebagai pelakon, Nadiya berkata, dia memerlukan pandangan yang berbeza.

"Pertama, pandangan saya sendiri dan kedua, pandangan seorang guru. Bila masuk set, pandangan pengarah pula.

"Maknanya, saya ada tiga pilihan untuk menghidupkan watak ini," katanya.

Berkongsi pembabitan dalam filem Imaginur yang menemui penonton sejak 23 Februari lalu, Nadiya berkata, dia harus bertanggungjawab terhadap hasil kerja dan perlu menunjukkan kesungguhan ketika berkarya.

"Setiap amanah diberi kena tunjuk usaha dan tidak boleh ambil mudah. Jika sesebuah produksi tidak sediakan guru lakonan atau tiada masa latihan, kita perlu ada inisiatif sendiri.

"Macam saya, akan cuba mencari masa untuk berlatih, baca skrip, duduk lepak dengan pengarah, Nik Amir Mustapha. Makan sambil bersembang dengannya dan bertanya jika ada perkara yang tidak difahami.

"Bila kita buat semua itu atas usaha sendiri, orang menghargainya dan menyifatkan hasil kerja sebagai berkualiti, saya sangat bersyukur," luahnya.

Selain filem Imaginur, Nadiya terbabit dalam filem Harum Malam. Imaginur adalah filem keduanya bersama Nik Amir selepas filem Terbaik Dari Langit.

Berita Harian X