Khamis, 16 March 2023 | 4:59pm
Ako dan isterinya, Kartina. Foto IG Ako Mustapha
Ako dan isterinya, Kartina. Foto IG Ako Mustapha

Berat badan Ako naik 13 kilogram

KUALA LUMPUR: Berat badan menokok 13 kilogram (kg), pelakon Ako Mustapha, 52, mengaku kesihatan bertambah baik biarpun penyakit kencing manis yang dideritai, belum hilang sepenuhnya.

Ako berkata, dia masih bergantung dengan ubat-ubatan termasuk mendapatkan suntikan insulin dalam merawat penyakit itu.

"Alhamdulillah, saya semakin baik sekarang. Kalau dahulu kurus kering, sekarang berat badan naik hingga 13 kg.

"Selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) tahun lalu, pelbagai ujian dilakukan untuk mengesan punca sebenar penyakit saya.

"Keputusan ujian mendapati tubuh saya tidak mempunyai insulin langsung. Disebabkan itu, paras gula dalam darah tinggi.

"Buat masa ini, saya bergantung kepada suntikan insulin. Cuma jumlah dos semakin berkurangan.

"Saya juga kerap menjalani rawatan susulan. Saya bertemu doktor tidak lama lagi untuk memeriksa apakah saya boleh berpuasa atau tidak," katanya.

Mula menderita penyakit kencing manis ketika berusia 45 tahun, Ako atau nama sebenar, Muhaizad Ahmad Mustapha mengaku penyakitnya itu mengganggu kehidupan harian.

"Ada banyak kerosakan yang berlaku pada saraf akibat penyakit itu. Sekarang rasa macam orang tua kerana kaki sentiasa lenguh.

"Keadaan ini amat menjengkelkan kerana mengganggu aktiviti harian saya. Kadang-kadang hendak fokus kepada kerja pun sukar kerana terpaksa menahan sakit. Tubuh pun jadi mudah penat.

Ako masih bergantung dengan ubat-ubatan termasuk mendapatkan suntikan insulin dalam merawat penyakit kencing manis. Foto IG Ako Mustapha
Ako masih bergantung dengan ubat-ubatan termasuk mendapatkan suntikan insulin dalam merawat penyakit kencing manis. Foto IG Ako Mustapha

"Tetapi tidaklah sampai tahap tidak terima tawaran berlakon. Lagipun saya bukan berlakon filem aksi yang memerlukan kekuatan fizikal," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Hoorey X Fest Raya di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, Selasa lalu.

Ogos tahun lalu, BH Online melaporkan Ako dikejarkan ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, HKL kerana pernafasannya lemah dan paras oksigen menurun.

Isteri Ako, Kartina Shuaib dilaporkan berkata, hasil pemeriksaan doktor mendapati kesihatan suaminya merosot disebabkan ketiadaan insulin dalam badan hingga otot dan saraf gagal berfungsi.

Berita Harian X