PUTRAJAYA: "Isu lama, saya rasa kita semua patut 'move on'," demikian kenyataan pelakon sensasi, Sophia Albarakbah, 30, berhubung kontroversi 'penyondol' yang dikaitkan dengannya apabila didakwa cuba mengganggu keharmonian rumah tangga hero gandingannya, Aliff Aziz dan isterinya, Bella Astillah.
Sophia berkata, dia tidak mahu memanjangkan isu panas yang mengheret namanya dalam kontroversi memandangkan drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah bergandingan dengan Aliff Aziz sudah pun selesai penggambaran sejak minggu lalu.
"Saya rasa tak perlu buka cerita lama. Apa yang sudah terjadi, biarlah berlalu.
"Biarlah orang yang terbabit sahaja yang tahu. Kami sudah pun selesaikan penggambaran. Alhamdulillah, seluruh naskhah sudah habis.
"Soal hubungan dengan Bella, rasanya tidak perlu beritahu. Biar kami sahaja yang tahu.
"Kami berada dalam industri sama, pusing-pusing akan bertemu juga," katanya kepada BH Online.
Tambah Sophia, dia menghormati keputusan Aliff yang memutuskan enggan bergandingan dengannya selepas kontroversi tercetus.
"Soal berlakon dengan Aliff kenalah tanya tuan badan. Saya hormat dia (Aliff) nak buat apa-apa keputusan.
"Saya tak boleh cakap apa-apa sebab Aliff berhak dengan keputusannya.
"Tetapi, kami sangat profesional biarpun orang cakap dingin atau fikir apa sahaja. Saya dan Aliff bersikap matang di lokasi sebab ini adalah kerja dan kami diberikan tanggungjawab untuk kerja.
"Takkan kami tidak mahu bertanggungjawab selepas apa yang berlaku. Kasihan pada pasukan produksi yang berusaha menjayakan naskhah ini. Jadi, apabila kerja, kami buat sahajalah kerja.
"Setiap orang berhak ada keputusan masing-masing, saya tiada hak nak marah," katanya.
Dalam masa sama, Sophia mengakui, emosinya sedikit terganggu lantaran pelbagai kecaman isu 'penyondol' diterima termasuk rakan-rakan artis.
"Memang sakit apabila ramai bercakap mengenai isu ini. Tambah lagi saya masih dalam proses penggambaran.
"Tetapi, semua orang ada hak untuk bercakap.
"Saya tidak boleh marah atau berkecil hati kerana individu memberikan komen tidak tahu cerita sebenar," katanya.
Sophia ditemui pada acara Tonton Anugerah Drama Sangat (TADS) 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad lalu.
Terdahulu, drama lakonan Aliff dan Sophia terutama babak 'sondol' di luar penggambaran, menarik perhatian ramai hingga menjadi bahan perdebatan dalam media sosial.
Dalam kes itu, Sophia didakwa cuba mengganggu keharmonian rumah tangga Aliff dan Bella melalui hantaran mesej dan panggilan kepada jejaka terbabit.
Isu bertambah hangat apabila Bella memuat naik tangkap layar perbualannya bersama individu dipercayai Sophia yang disyaki mengganggu rumah tangganya di Instagram (IG).