PUTRAJAYA: Aktor popular, Datuk Aaron Aziz tidak kisah jika kontroversi watak lelaki bernafsu songsang dalam drama rantaian, Suamiku Lelaki Pendosa kembali menjadi bahan perdebatan netizen.
Menggenggam trofi Pelakon Lelaki Terbaik, Tonton Anugerah Drama Sangat 2023 (TADS 2023), Aaron, 47, berkata, tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana kisah yang diketengahkan dalam drama adalah realiti berlaku dalam masyarakat hari ini.
"Selepas bertahun-tahun menceburkan diri dalam bidang seni dan sering membawakan watak klise seperti karakter hero kaya dan berkahwin, saya tentunya mahu mencuba watak baharu.
"Saya tidak mempunyai masalah jika isu ini kembali diperkatakan apabila memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik menerusi watak lelaki songsang ini.
"Isu ini memang berlaku dalam masyarakat hari ini dan tugas saya hanya untuk menghidupkan watak," katanya kepada BH Online.
Tambah pemenang trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Paling Popular BH 2011 dan 2013 ini, dia juga tidak berniat menyinggung perasaan mana-mana pihak apabila tampil dengan watak kontroversi itu.
"Bila saya melakonkan watak ini, saya anggap ia hanyalah sekadar lakonan, bukan untuk menjatuhkan sesiapa.
"Kita sebagai manusia tiada hak untuk menghakimi golongan songsang," tegas aktor kelahiran Singapura ini.
Menerusi drama arahan Eyra Rahman itu, Aaron membawakan watak Dean Ilyas yang juga suami kepada Cahaya Malaika lakonan Sophia Albarakbah.
Konflik tercetus apabila Dean turut menjalinkan hubungan sejenis dengan Izfairin lakonan Gambit Saifullah.
Mengulas kemenangannya, Aaron berkata, dia hampir sahaja terlepas momen yang cukup manis itu.
"Sejujurnya, saya tidak sedar nama dicalonkan untuk kategori ini. Saya hadir kerana mahu memberikan sokongan kepada stesen penyiaran, dan menghormati permintaan produksi.
"Disebabkan terlalu penat kerana seharian menjalani latihan, saya memutuskan untuk pulang dan berehat.
"Bagaimanapun, belum sempat beredar, saya mendapat panggilan dan meminta saya kembali ke dalam dewan.
"Saya tak sangka akan menang. Apapun, saya bersyukur rezeki diberikan Allah SWT.
"Saya gembira dapat berkongsi kemenangan bersama anak-anak," ungkap aktor bertubuh sasa ini.
Selain Aaron, malam kemuncak TADS 2023 turut menyaksikan karya terbitan Global Station Sdn Bhd itu mengungguli tiga kategori lain iaitu Drama Terbaik, Pengarah Terbaik (Eyra Rahman) dan Pelakon Antagonis Terbaik (Gambit).
Berkongsi perkembangan terkininya, Aaron berkata, dia bakal membintangi filem aksi berjudul Syerif terbitan bersama Skop Production dan Astro Shaw.
"Filem arahan Syafiq Yusof ini bakal menyaksikan saya bergandingan dengan Zul Ariffin dan Syafiq Kyle.
"Saya akan membawakan watak jahat dalam karya ini. Seperti yang sering diminta, akan ada babak pertarungan antara saya dengan Zul Ariffin," kongsi Aaron.