Selasa, 14 March 2023 | 2:22pm
Yeoh melakar sejarah apabila menjadi bintang Asia pertama merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Oscar Ke-95 yang berlangsung di Dolby Theatre, Los Angeles, semalam. - Foto AGENSI
Yeoh melakar sejarah apabila menjadi bintang Asia pertama merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Oscar Ke-95 yang berlangsung di Dolby Theatre, Los Angeles, semalam. - Foto AGENSI

Kerabat Diraja Britain ucap tahniah kepada Michelle Yeoh

KUALA LUMPUR: Kerabat Diraja Britain menzahirkan ucapan tahniah kepada aktres Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, 61, susulan kejayaan menjadi bintang Asia pertama merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95 yang berlangsung di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), semalam.

Menerusi ciapan dalam laman Twitter The Royal Family, keluarga diraja itu menyifatkan kemenangan diraih Yeoh memberi makna kepada Kesatuan Komanwel.

Lebih manis, wanita kelahiran Ipoh, Perak itu memenangi trofi Oscar pada Hari Komanwel yang disambut setiap Isnin kedua dalam Mac.

"Tahniah kepada Michelle Yeoh dan ahli keluarganya yang menonton di Malaysia atas kemenangannya pada Oscar yang juga Hari Komanwel," tulisnya menerusi ciapan di Twitter The Royal Family.

Ciapan itu dibuat kira-kira 11 jam lalu dan menerima 2,399 tanda suka dan lebih 355,000 siaran.

Menerusi ciapan dalam Twitter The Royal Family, keluarga diraja itu menyifatkan kemenangan diraih Yeoh memberi makna kepada Kesatuan Komanwel.
Menerusi ciapan dalam Twitter The Royal Family, keluarga diraja itu menyifatkan kemenangan diraih Yeoh memberi makna kepada Kesatuan Komanwel.

Tambah kenyataan Kerabat Diraja Britain, Raja Charles III menerusi ciapan berasingan menganggap Komanwel adalah suatu perkara yang membawa makna besar dalam hidupnya.

"Komanwel adalah satu perkara berterusan dalam hidup saya, namun kepelbagaiannya terus memukau dan memberi inspirasi kepada saya," katanya.

Menerusi Oscar Ke-95, Yeoh menewaskan empat calon hebat lain iaitu Andrea Riseborough yang membintangi filem To Leslie; Cate Blanchett (Tar); Michelle Williams (The Fabelmans) dan Ana de Armas (Blonde).

Kemenangan Yeoh sekali gus mencipta rekod sebagai bintang Asia pertama meraih trofi bagi kategori itu dalam sejarah Oscar.

Terdahulu, menerusi watak Evelyn Quah Wang, Yeoh meraih kemenangan dalam kategori sama iaitu Pelakon Wanita Terbaik pada beberapa acara lain termasuk Anugerah Golden Globe Ke-80 dan Screen Actors Guild Awards (SAG) Ke-29.

Berita Harian X