KUALA LUMPUR: Biarpun bergiat aktif selama lebih 15 tahun dalam bidang lakonan, aktor Nazim Othman, 38, tidak pernah meletakkan istilah 'puas' dalam diari lakonannya.
Sebaliknya, Nazim atau sebenarnya, Nushrul Alif Othman berkata, dia mahu terus menjayakan pelbagai karakter lebih mencabar, selain memperbaiki corak lakonannya.
Bagaimanapun, pelakon yang muncul buat kali pertama di layar kaca menerusi drama Frontpage pada 2008 itu berkata, dia bakal berdepan rintangan sekiranya mahu menjayakan watak di luar kebiasaan atau belum pernah ada di Malaysia.
"Sebagai pelakon, banyak watak yang saya idamkan, tetapi kita ada kekangan daripada segi paparan untuk khalayak di Malaysia.
"Jadi, watak yang saya inginkan macam tak boleh ditayangkan di kaca televisyen (TV), kecuali diwujudkan dalam platform penstriman atau Over The Top (OTT) seperti Viu atau Netflix.
"Dalam fasa ini, saya bukan muda lagi dan mengejar waktu untuk mencuba pelbagai watak baharu.
"Selepas ini, mungkin ramai yang tidak mahu mengambil saya memegang watak besar dan saya perlu realistik mengenainya," katanya kepada BH Online.
Nazim berkata, dia mahu beralih ke platform OTT disebabkan lebih terbuka dan mampu mencuba pelbagai idea kreatif daripada penggiat industri.
"Kalau diikutkan watak dilakonkan dalam setiap naskhah di platform OTT lebih 'hidup' dan jalan ceritanya juga di luar kebiasaan daripada apa yang selalu ditonton di kaca TV.
"Ini kerana platform OTT memberi kebebasan dan bajet untuk penghasilan sesuatu naskhah juga lebih tinggi. Jadi, idea daripada pengkarya juga pasti lebih baik.
"Walaupun sudah menerima tawaran daripada Viu beberapa kali, tetapi saya terpaksa menolak disebabkan pertindihan jadual.
"Mungkin rezeki masih belum tiba. Bagaimanapun, itu antara tawaran yang saya sangat nantikan," kata aktor yang pernah bertugas sebagai pramugara itu.
Tidak merasakan dirinya keseorangan, anak kelahiran Labuan, Sabah itu berkata, kebanyakan pelakon seusianya turut mengintai peluang sama.
"Saya rasa bukan saya seorang sahaja, pelakon lain terutama senior pasti mahu merasai pengalaman menjayakan sesuatu watak di platform OTT.
"Kalau kaca TV sangat terhad untuk jayakan sesuatu watak jahat. Tetapi, saya percaya ia boleh pergi lebih jauh jika watak dilakonkan dalam platform OTT," katanya.
Nazim berkata, dia mampu menghadiahkan impak lakonan lebih baik sekiranya berpeluang selain berharap diberi kepercayaan pengkarya hebat.
"Sejujurnya, saya boleh berikan lebih lagi ketika menjayakan sesuatu watak, tetapi ia tetap ada beberapa kekangan yang saya tidak boleh perkatakan dengan lebih lanjut.
"Jika saya berpeluang dan ramai mempercayai saya, mungkin saya mampu berikan sesuatu berbeza dalam bidang lakonan. Saya sangat serius mengenai kerja ini, tetapi mungkin belum rezeki lagi," katanya.
Terbaharu, Nazim membintangi drama Isteri Halal bersama Uqasha Senrose, Aidit Noh, Isyariana Che Azmi dan ramai lagi. Drama itu ditayangkan pada sejak Februari lalu di Astro Ria.
Selain lakonan, Nazim pernah merakamkan single Kerana Cinta pada 2017 hasil nukilan penyanyi, komposer dan penulis lirik, Hael Husaini.
Nazim pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon Bella Dally pada 10 September 2016, namun berpisah pada 17 Mei 2018.