Isnin, 13 March 2023 | 5:23pm
Menerusi hantaran dalam laman Facebook, Anwar berharap pencapaian Yeoh memberi inspirasi kepada budayawan dan seniman di Malaysia.
Menerusi hantaran dalam laman Facebook, Anwar berharap pencapaian Yeoh memberi inspirasi kepada budayawan dan seniman di Malaysia.

PM ucap tahniah kepada Michelle Yeoh

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada aktres Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, 61, susulan kejayaan menjadi bintang Asia pertama merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95 yang berlangsung di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), pagi ini.

Menerusi hantaran dalam laman Facebook, Anwar berharap pencapaian aktres yang mula mencipta nama melalui filem terbitan Hong Kong pada era 1980-an itu memberi inspirasi kepada budayawan dan seniman di Malaysia.

Anwar berharap kejayaan Yeoh di pentas Hollywood menjadi motivasi kepada seluruh pengkarya tempatan.

"Kerajaan bersama rakyat di seluruh negara mengucapkan tahniah buat tokoh budayawan dan seniwati, Tan Sri Michelle Yeoh yang ditabal selaku Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Akademi Ke-95 (Oscar 2023) menerusi lakonannya dalam filem Everything Everywhere All At Once.

"Dalam mencipta sejarah dengan menjadi bukan sahaja rakyat Malaysia pertama, tetapi juga pelakon Asia pertama menang dalam kategori ini, kami amat berbangga dengan pencapaiannya.

"Kemenangan Yeoh itu juga menambah senarai panjang kejayaan dalam kerjaya lakonannya yang menjangkau beberapa dekad.

"Ternyata, pencapaian ini amat mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

"Besar harapan agar pencapaian ini akan terus menjadi sumber inspirasi dan motivasi kepada semua penggiat seni dan perfileman tempatan sekali gus memberi galakkan yang lebih besar kepada pertumbuhan industri tanah air.

"Tahniah dan syabas dari seluruh rakyat Malaysia," tulis Anwar.

Yeoh bukan sahaja mencipta sejarah bukan sahaja menjadi rakyat Malaysia pertama, malah pelakon Asia pertama menang dalam Oscar. - Foto AGENSI
Yeoh bukan sahaja mencipta sejarah bukan sahaja menjadi rakyat Malaysia pertama, malah pelakon Asia pertama menang dalam Oscar. - Foto AGENSI

Pada acara yang berlangsung di Dolby Theatre, Los Angeles, pagi tadi, Yeoh, 61, merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonannya dalam filem Everything Everywhere All At Once.

Beliau menewaskan empat calon hebat lain iaitu Andrea Riseborough yang membintangi filem To Leslie; Cate Blanchett (Tar); Michelle Williams (The Fabelmans) dan Ana de Armas (Blonde).

Sebelum ini, Yeoh juga meraih trofi sama pada beberapa acara anugerah termasuk Anugerah Golden Globe dan Screen Actors Guild Awards (SAG).

Berita Harian X