LOS ANGELES: Pengarah filem Everything Everywhere All At Once, Daniel Kwan, 35, dan Daniel Scheinert, 35, diangkat sebagai Pengarah Terbaik, Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95 yang disiarkan secara langsung dari Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), hari ini.
Kemenangan dinamik duo itu berjaya mengenepikan calon hebat lain seperti Martin McDonagh menerusi filem The Banshees of Inisherin Steven Spielberg (The Fabelmans), Todd Field (Tar) dan Ruben Ostlund (Triangle of Sadness).
Daniel Kwan and Daniel Scheinert (The Daniels) accept the #Oscar for Best Director for #EverythingEverywhereAllAtOnce. https://t.co/ndiKiHeOT5 pic.twitter.com/pZo7gBgdGM
— Variety (@Variety) March 13, 2023
Sebelum ini, dua pelakon Everything Everywhere All At Once, Ke Huy Quan dan Jamie Lee Curtis, masing-masing diumumkan sebagai Pelakon Pembantu Terbaik pada acara anugerah berprestij itu.
Selain itu, filem Everything Everywhere All At Once berjaya meraih trofi Skrip Asal Terbaik dan Suntingan Filem Terbaik, Oscar Ke-95.
Filem menampilkan lakonan hebat aktres Hollywood kelahiran Ipoh, Perak, Tan Sri Michelle Yeoh ini mengisahkan seorang wanita imigran yang penat dan tidak dapat menyelesaikan isu cukai.
Menerusi watak Evelyn Quan Wang, Yeoh memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi, Anugerah Golden Globe Ke-80 dan Pelakon Wanita Terbaik, Screen Actors Guild Awards (SAG), baru-baru ini.
Tahun lalu, filem Everything Everywhere All At Once hangat diperkatakan apabila berjaya mendapat kutipan pecah panggung di seluruh dunia dengan meraih kutipan AS100 juta (RM443 juta).
Sejak 'demam' Oscar melanda, peminat termasuk pengamal media Hollywood meramalkan filem Everything Everywhere All At Once yang tercalon dalam 11 kategori, bakal mendominasi edisi ke-95 acara anugerah berprestij ini.
Sementara itu, The Elephant Whisperers memenangi kategori Dokumentari Pendek Terbaik.
Dokumentari arahan Kartiki Gonsalves dan Guneet Monga yang ditayangkan di Netflix itu berjaya mengetepikan empat calon lain iaitu Haulout, How Do You Measure a Year?, The Martha Mitchell Effect dan Stranger at the Gate.
Selain itu, filem dari Jerman, All Quiet on the Western Front memenangi trofi Filem Antarabangsa Terbaik menewaskan Argentina, 1985 (Argentina), Close (Belgium), EO (Poland) dan The Quiet Girl (Ireland).
Anugerah Akademi Ke-95 akan dikendalikan Jimmy Kimmel. Ini adalah kali ketiga Kimmel mengacarakan Oscar, iaitu kali terakhir pada 2018. - AGENSI