LOS ANGELES : Aktres Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, 61, menepati ramalan ramai apabila diumum Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95 yang disiar secara langsung dari Dolby Theatre, di sini, sekali gus mencipta rekod sebagai bintang Asia pertama meraih trofi bagi kategori itu dalam sejarah Oscar.
Yeoh menewaskan empat calon hebat lain iaitu Andrea Riseborough yang membintangi filem To Leslie; Cate Blanchett (Tar); Michelle Williams (The Fabelmans) dan Ana de Armas (Blonde).
Michelle Yeoh accepts Best Actress at the #Oscars: "For all the little boys and girls who look like me watching tonight, this is a beacon of hope and possibilities." pic.twitter.com/vbePTYnmsi
— MTV NEWS (@MTVNEWS) March 13, 2023
Mengenakan gaun putih ketika mengambil trofi, Yeoh menyifatkan ia adalah perjalanan menakjubkan selama lebih empat dekad dalam dunia seni.
"Ini membuktikan impian boleh menjadi kenyataan. Jangan biarkan sesiapa persoalkan kebanggaan kita.
"Saya dedikasikan kemenangan ini kepada ibu saya dan semua ibu di seluruh dunia kerana merekalah adalah adiwira sebenar. Tanpa mereka, kita semua tidak akan dapat berada di sini.
"Ibu saya berusia 84 tahun dan saya akan bawa trofi ini pulang ke rumah. Ibu menonton sekarang di Kuala Lumpur bersama keluarga kawan-kawan. Saya sayang kamu semua.... Saya akan bawa pulang trofi ini," katanya.
Terdahulu, menerusi watak Evelyn Quan Wang, Yeoh meraih kemenangan dalam kategori sama, iaitu Pelakon Wanita Terbaik pada beberapa acara lain termasuk Anugerah Golden Globe Ke-80 dan Screen Actors Guild Awards (SAG) Ke-29.
Susulan itu, Michelle menerima pencalonan dalam Oscar Ke-95 bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik, sekali gus menjadi pelakon wanita Asia pertama yang mendapat pengiktirafan penganjur, The Academy of Motion Pictures Arts and Sciences untuk dicalonkan dalam kategori utama anugerah berprestij itu.
Sejak beberapa minggu lalu, ketika 'demam' Oscar melanda, pengkritik filem dan media Hollywood meletakkan Yeoh sebagai antara calon 'favourite' meraih kategori berkenaan.
Kemenangan Yeoh yang mula mencipta nama melalui filem terbitan Hong Kong pada era 1980-an, disambut gembira peminat terutama di Malaysia yang pantas berkongsi berita itu melalui layangan Twitter dan hantaran dalam media sosial lain.
At 60, Michelle Yeoh won the first Oscar for Malaysia . Her mother Janet exalted . Cheers erupted all round at special viewing ceremony in KL . Malaysia made history, https://t.co/KHxOtxcYaD pic.twitter.com/tVEOxucRG3
— Melissa Goh (@MelGohCNA) March 13, 2023
Sejak mula ditayangkan, penampilan Yeoh dalam filem Everything Everywhere All At Once arahan Daniel Kwan dan Daniel Scheinert, menjadi sebutan ramai.
Filem 'box office' itu Mac tahun lalu yang menyaksikan Yeoh melakonkan watak isteri dan ibu yang mahu menyelamatkan dunia.
Pengamal media Hollywood meramalkan filem Everything Everywhere All At Once yang tercalon dalam 11 kategori, bakal mendominasi edisi ke-95 acara anugerah berprestij ini.
Filem Everything Everywhere All At Once menyaksikan Kwan dan Scheinert memenangi trofi Pengarah Terbaik.
Sementara itu, dua pelakon filem Everything Everywhere All At Once, Ke Huy Quan dan Jamie Lee Curtis, masing-masing diumumkan sebagai Pelakon Pembantu Terbaik pada acara anugerah berprestij itu.
Selain itu, filem Everything Everywhere All At Once berjaya meraih trofi Skrip Asal Terbaik dan Suntingan Filem Terbaik, Oscars Ke-95.
Anugerah Akademi Ke-95 akan dikendalikan Jimmy Kimmel. Ini adalah kali ketiga Kimmel mengacarakan Oscar, iaitu kali terakhir pada 2018. - AGENSI