KUALA LUMPUR: Detik bersejarah bintang Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh menghadiri Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95 di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) hari ini, disaksikan ibunya, Datin Janet Yeoh pada acara Tontonan Eksklusif Oscar 2023 - Kebanggaan Malaysia di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, di sini.
Acara eksklusif itu dihadiri lebih 200 tetamu termasuk Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang memberi sokongan kepada Yeoh sebagai calon kategori Pelakon Wanita Terbaik pada edisi ke-95 Oscar.
Majlis diserikan dengan kehadiran beberapa selebriti tempatan antaranya Nadia Brian, Nasha Aziz, Amber Chia, Adriana Adnan, Sangeeta Krishnasamy dan ramai lagi.
Penataan lokasi acara berkonsep Hollywood dilengkapi karpet merah di laluan masuk menyerlahkan aura glamor, sekali gus menambah rasa teruja menanti keputusan kategori disaingi Yeoh melalui penampilannya dalam filem Everything Everywhere All At Once.
Yeoh berdepan saingan Andrea Riseborough yang membintangi filem To Leslie; Cate Blanchett (Tar); Michelle Williams (The Fabelmans) dan Ana de Armas (Blonde).
Yeoh yang melakonkan Evelyn Quan Wang dalam filem arahan Dan Kwan dan Daniel Scheinert menjadi antara calon 'favourite' yang disebut-sebut memenangi kategori itu.
Andai perkara itu menjadi nyata, Yeoh bakal menjadi aktres Asia pertama menggondol trofi itu.
Sebelum ini, Yeoh meraih trofi sama pada beberapa acara anugerah termasuk Anugerah Golden Globe dan Screen Actors Guild Awards (SAG).