PUTRAJAYA: "Alhamdulillah, selepas 16 tahun bergelar pelakon, ini adalah trofi pertama saya untuk bidang ini."
Itu reaksi pertama Ummi Nazeera yang diumum Pelakon Wanita Terbaik pada Tonton Anugerah Drama Sangat (TADS) 2023 yang disiarkan secara langsung TV3 dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, malam tadi.
Ummi yang meraih kemenangan melalui drama Risik Pada Hati menewaskan calon 'senior' iaitu Fauziah Ahmad Daud, Nabila Huda, Fasha Sandha dan Siti Saleha.
Ummi sangat gembira tersenarai bersama pelakon terbaik dalam kategori itu.
"Saya sangat gembira sebab pesaing kategori ini semuanya saya hormati.
"Alhamdulillah, ini adalah kemenangan saya selepas bergelar pelakon selama 16 tahun. Terima kasih kerana percayakan saya. Terima kasih kepada barisan pelakon dan peminat yang menyokong saya," katanya.
Melalui drama rantaian Risik Pada Hati, lakonan Ummi sebagai Hayfa, iaitu isteri Adam lakonan Alif Satar, mendapat reaksi positif penonton.
Malah, rakaman babak pertelingkahan antara Hayfa dan Adam, tular dalam media sosial.
Drama Risik Pada Hati sebanyak 28 episod diarahkan Pali Yahya.
Sementara itu, Datuk Aaron Aziz diumumkan Pelakon Lelaki Terbaik TADS 2023 melalui lakonan dalam drama Suamiku Lelaki Pendosa.
Aaron mengaku tidak tahu dicalonkan dalam kategori berkenaan sehinggalah namanya diumum sebagai pemenang.
"Terima kasih TV3, Global Station, pelakon dan kru. Tahniah buat Gambit Saifullah di mana saja awak berada," katanya.
Terdahulu, Gambit diumum Pelakon Antagonis Terbaik menerusi drama sama.