KUALA LUMPUR: Bahang Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95 yang akan disiarkan secara langsung dari Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), mulai jam 8 pagi esok waktu tempatan, makin dirasakan peminat filem di seluruh dunia.
Di Malaysia, debaran makin terasa berikutan aktres Hollywood kelahiran Ipoh, Perak, Tan Sri Michelle Yeoh tercalon dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik hasil lakonan dalam filem Everything Everywhere All At Once.
Yeoh berdepan saingan Andrea Riseborough yang membintangi filem To Leslie; Cate Blanchett (Tar); Michelle Williams (The Fabelmans) dan Ana de Armas (Blonde).
Yeoh yang melakonkan Evelyn Quan dalam filem arahan Dan Kwan dan Daniel Scheinert menjadi antara calon 'favourite' yang disebut-sebut memenangi kategori itu.
Andai perkara itu menjadi nyata, Yeoh bakal menjadi aktres Asia pertama menggondol trofi itu.
Sebelum ini, Yeoh meraih trofi sama pada beberapa acara anugerah termasuk Anugerah Golden Globe dan Screen Actors Guild Awards (SAG).
Sejak 'demam' Oscar melanda, peminat termasuk pengamal media Hollywood meramalkan filem Everything Everywhere All At Once yang tercalon dalam 11 kategori, bakal mendominasi edisi ke-95 acar anugerah berprestij ini.
Filem Everything Everywhere All At Once turut menyaksikan Kwan dan Scheinert tercalon dalam kategori Pengarah Terbaik. Turut tersenarai, Ke Huy Quan dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik serta Jamie Lee Curtis dan Stephanie Hsu masing-masing dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
Bagaimanapun, filem epik perang dari Jerman, All Quiet on the Western Front dan The Banshees of Inisherin tidak boleh dipandang ringan apabila masing-masing meraih sembilan pencalonan.
Anugerah Akademi Ke-95 akan dikendalikan Jimmy Kimmel. Ini adalah kali ketiga Kimmel mengacarakan Oscar, iaitu kali terakhir pada 2018.
Dengan pemilihan Kimmel, penganjur tidak mahu insiden memalukan berulang seperti kesilapan pengumuman keputusan Filem Terbaik pada 2017 dan kontroversi tahun lalu, apabila pelakon Hollywood, Will Smith melempang Chris Rock di pentas Oscar.
Artis popular yang akan tampil sebagai penyampai anugerah adalah Harrison Ford, Nicole Kidman, Samuel L Jackson, Dwayne Johnson, Zoe Saldana, John Travolta dan ramai lagi.
Tumpuan pasti terarah kepada penyampai trofi, Halle Berry yang memecah monopoli penguasaan bintang kulit putih apabila merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik pada edisi ke-74 Oscar pada 2002.
Selain itu, pentas Oscar akan diserikan dengan persembahan Lift Me Up dari Rihanna yang tercalon dalam kategori Lagu Original Terbaik menerusi filem Black Panther: Wakanda Forever. - AGENSI