Ahad, 12 March 2023 | 4:23pm
Rahmad percaya Amir mempunyai potensi untuk pergi jauh dalam industri muzik tempatan. Foto IG Rahmad Mega
Rahmad percaya Amir mempunyai potensi untuk pergi jauh dalam industri muzik tempatan. Foto IG Rahmad Mega

Kongsi pentas dengan Rahmad, Amir rasa kerdil

KUALA LUMPUR: Bakal menghangatkan pentas Tonton Anugerah Drama Sangat (TADS) 2023 yang disiarkan secara langsung TV3 dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam ini, penyanyi Amir Masdi mengaku kerdil berganding dengan bintang rock, Rahmad Mega.

Bergabung menjayakan salah satu segmen dengan mempersembahkan lagu malar segar iaitu Sejati, Azura dan sebuah dendangan dirahsiakan, Amir, 26, mengaku memerlukan sedikit masa untuk mencarik keserasian dengan Rahmad.

"Ketika berjumpa di studio untuk latihan kali pertama, memang saya kekok. Tetapi selepas berjumpa untuk sesi latihan di PICC, perlahan-lahan keserasian itu terbina.

Amir pada sesi latihan TADS 2023 di PICC, Putrajaya, kelmarin. Foto IG Amir Masdi
Amir pada sesi latihan TADS 2023 di PICC, Putrajaya, kelmarin. Foto IG Amir Masdi

"Saya suka berkerja dengan penyanyi berpengalaman kerana gemar memerhatikan cara mereka bekerja. Daripada situ, saya beroleh ilmu baharu," katanya kepada BH Online.

TADS 2023 yang dikendalikan pengacara popular, Sherry Alhadad dan Sharifah Shahirah akan menemui penonton TV3 dan platform penstriman Tonton, mulai jam 9 malam ini.

Antara kategori dipertandingkan adalah Drama Terbaik; Drama Popular: Drama Terbaik 8TV: Pengarah Terbaik; Penulis Skrip Terbaik; Pelakon Lelaki Terbaik; Pelakon Wanita Terbaik; Pelakon Lelaki Popular dan Pelakon Wanita Popular.

Selain Rahmad dan Amir Masdi, TADS 2023 dimeriahkan dengan persembahkan Stacy, Mimi Fly, Liza Hanim, Misha Omar, Bella Astillah, Wani Kayrie, Ayda Jebat, Fyna Jebat, Haqiem Rusli, Afieq Shazwan dan Hael Husaini.

Sementara itu, Rahmad teruja beraksi di pentas berprestij bersama Amir.

"Amir adalah antara rock generasi muda yang menonjol. Saya lihat potensi Amir yang boleh pergi jauh dalam industri," katanya.

Rahmad mengaku tidak sukar mencipta keserasian bersama Amir kerana setiap lagu dinyanyikan mengikut giliran masing-masing.

"Kami agihkan setiap lagu mengikut bahagian masing-masing supaya tersusun.

"Agihan lagu perlu apabila menyanyi secara duet bagi mencari keserasian dan keharmonian dalam dendangan dipersembahkan," katanya.

Berita Harian X