KUALA LUMPUR: Penampilan penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat, 30, menerusi video Salam Taiwan 2023 memberi impak positif apabila berjaya mencecah satu juta tontonan.
Ternyata, pelantikan Ayda sebagai duta Salam Taiwan 2023/24 adalah langkah tepat bagi mempromosikan negara yang sinonim dengan jolokan 'Jantung Asia' itu.
Ayda atau nama sebenarnya, Nur Suhada Jebat berkata, ia adalah kejayaan buatnya apabila video bertujuan menarik lebih ramai pelancong Muslim mendapat perhatian.
"Sebelum ini, Biro Pelancongan Taiwan membawakan Kempen Salam Taiwan iaitu program percutian mesra Muslim sebagai satu usaha menggalakkan rakyat Malaysia bercuti ke sana.
"Saya menghasilkan filem pendek yang memaparkan saya dibawa ke pelbagai destinasi pelancongan di Taiwan untuk mengalami sendiri pengalaman percutian.
"Jujurnya, saya jatuh cinta sebaik sahaja menjelajah ke sebahagian besar negara itu. Baik dari segi kemesraan, keindahan, keseronokan membeli-belah hinggalah pelbagai pilihan makanan halal lazat dan mudah untuk dinikmati.
"Saya akan kembali ke sana bersama keluarga. Insya-Allah, saya juga akan membawa anak, Ana Nayla bersama memandangkan kunjungan kali ini lebih santai, bukannya seperti kunjungan selama dua minggu, tahun lalu.
"Ketika itu, saya sibuk bekerja dengan menjayakan video untuk program ini," katanya kepada BH Online.
Berikutan itu, pemilihan juara program The Masked Singer Malaysia menghiasi video dikatakan sebagai satu langkah bijak. Dalam masa singkat, video dikongsi merentasi pelbagai platform media sosial ini mencapai satu juta tontonan.
Lebih menarik, bukan sahaja video mendapat sambutan, malah video di sebalik tabir yang memaparkan aktiviti, perjalanan, persiapan Ayda dan pasukan produksi juga menarik perhatian. Ini termasuklah ratusan ribu tontonan menerusi beberapa video dalam media sosial.
Kata Ayda, video itu juga memaparkan sisi menarik negara itu yang sebelum ini kurang informasi.
"Antara destinasi menarik dikunjungi dan dipaparkan dalam video termasuklah pengembaraan di pergunungan Alishan iaitu lokasi sering menjadi inspirasi ramai, Keelung Harbour iaitu pekan unik, Shifen dan kecanggihan metropolitan Taipei," katanya.
Tambah Ayda, banyak perancangan dilakukan termasuk membawanya dan pemenang bertuah untuk bercuti bersama selepas video itu mendapat sambutan.