Sabtu, 11 March 2023 | 9:06am
Sebelum ini, Ibnor dilapor mengalami kompilasi pelbagai penyakit seperti kencing manis, paras kolesterol tinggi, darah tinggi dan migrain yang teruk. Foto Ihsan Ibnor Riza
Sebelum ini, Ibnor dilapor mengalami kompilasi pelbagai penyakit seperti kencing manis, paras kolesterol tinggi, darah tinggi dan migrain yang teruk. Foto Ihsan Ibnor Riza

Hidap kanser limfoma tahap empat, Ibnor kecil hati diabai persatuan seni

KUALA LUMPUR: Penyanyi Ibnor Riza, 62, berkecil hati dengan segelintir persatuan seni yang didakwa meminggirkan dirinya yang sedang bertarung melawan kanser limfoma tahap empat.

Ibnor mendakwa sejak dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, Januari lalu, akibat kompilasi pelbagai penyakit, tiada seorang pun 'orang kuat' persatuan seni yang dimaksudkan datang menziarah atau bertanya khabar.

"Sejak saya di HKL hinggalah dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, ketika ini, tidak ada satu persatuan seni pun yang datang melawat atau bertanya khabar.

"Kalau ada pun, hanyalah Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) yang diwakili Pengerusinya, Datuk DJ Dave.

"Sekurang-kurangnya, apabila ada persatuan seni yang datang menziarah dan bertanya khabar, dapat beri semangat kepada saya," katanya kepada BH Online.

Berkongsi keadaan terkininya, Ibnor atau nama penuh, Ibnor Riza Ibrahim memberitahu, dia baru selesai menjalani ujian kimoterapi ringan.

"Buat masa ini, keadaan saya masih okay dan boleh bercakap. Jumaat ini (semalam) barulah rawatan kimoterapi berat dibuat.

Baru-baru ini, Ibnor yang berasal dari Batu Kikir, Negeri Sembilan, mengesahkan menghidap kanser limfoma dan bakal menjalani rawatan kimoterapi. Foto Ihsan Ibnor Riza
Baru-baru ini, Ibnor yang berasal dari Batu Kikir, Negeri Sembilan, mengesahkan menghidap kanser limfoma dan bakal menjalani rawatan kimoterapi. Foto Ihsan Ibnor Riza

"Ketika itu, mungkin tubuh saya jadi lemah dan rambut gugur. Disebabkan itu, saya perlukan doa serta kata-kata semangat daripada semua pihak untuk berdepan ujian ini," katanya.

Baru-baru ini, penyanyi kelahiran Batu Kikir, Negeri Sembilan ini mengesahkan menghidap kanser limfoma dan bakal menjalani rawatan kimoterapi.

Ibnor berkongsi khabar duka itu melalui hantaran berbentuk video yang dimuat naik rakan seperjuangan, Datin Salwa Abdul Rahman di Instagram (IG).

Pada 19 Februari lalu, Ibnor dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Port Dickson (HPD), Negeri Sembilan selepas pengsan di kediamannya.

Sebelum ini, Ibnor dilapor mengalami kompilasi pelbagai penyakit seperti kencing manis, paras kolesterol tinggi, darah tinggi dan migrain yang teruk.

Berikutan itu, Ibnor tidak dapat meneruskan karier sebagai penyanyi hingga sumber pendapatannya terjejas.

Berita Harian X