KUALA LUMPUR: Penyanyi popular era 1980-an, Ibnor Riza yang disahkan mengidap kanser limfoma tahap empat memulakan rawatan kimoterapi bermula hari ini.
Sehubungan itu, Ibnor, 62, mengharapkan semua pihak dapat mendoakan urusannya dipermudahkan bagi mengubati penyakitnya itu.
"Saya disahkan mengidap kanser limfoma tahap empat dan kini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban.
"Hari ini, saya akan memulakan rawatan kimoterapi dan berlanjutan untuk beberapa hari. Sebarang perkembangan terkini akan saya maklumkan kemudian.
"Doakan semoga saya segera sembuh dan kuat menghadapi ujian ini," katanya kepada BH Online.
Semalam, penyanyi yang popular dengan lagu Meneka Dalam Kesamaran ini mengesahkan menghidap kanser limfoma dan bakal menjalani rawatan kimoterapi bagi mengubati penyakit itu.
Penyanyi bersuara parau itu berkongsi khabar duka itu melalui hantaran berbentuk video yang dimuat naik rakan seperjuangan, Datin Salwa Abdul Rahman di Instagram (IG).
Pada 19 Februari lalu, Ibnor dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) HPD, Negeri Sembilan selepas pengsan di kediamannya.
Sebelum ini, dia dilaporkan mengalami kompilasi pelbagai penyakit seperti kencing manis, paras kolesterol tinggi, darah tinggi dan migrain yang teruk.
Berikutan itu, Ibnor tidak dapat meneruskan karier sebagai penyanyi hingga pendapatannya terjejas.