KUALA LUMPUR : Gandingan bintang legenda dan bakat baharu bakal menghangatkan Malam Amal X Ulang Tahun Ke-10 QewComm anjuran Qew Communications (QewComm), iaitu anak syarikat Qew Group Berhad (QGB) di The Westin, Kuala Lumpur, pada 17 Mac ini, mulai jam 8 malam.
Antara penyanyi yang bakal beraksi adalah Datuk Ramli Sarip, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Awie, Ella, Dayang Nurfaizah, Ameng Spring, Alim Kris dan Umarul Iklim.
Selain itu, Syafiq Farhain dan Belle Fatah mewakili generasi baharu.
Penyanyi undangan dipilih berdasarkan kecenderungan mereka terbabit dalam projek amal selain kredibiliti masing-masing dalam menghiburkan penonton.
Persembahan pada malam itu diiringi pemuzik profesional seperti Ritz Metalasia, Helmi, Ude Wahid, Ujang Exist, Robot dan ramai lagi.
Selain meraikan ulang tahun ke-10 QewComm, sumbangan terkumpul melalui konsert itu akan diserahkan kepada badan kebajikan terpilih.
Selain menawarkan kepakaran dalam bidang pengurusan acara, multimedia kreatif, penyiaran dan telekomunikasi, QewComm bergiat aktif dalam program amal.
Langkah ini bagi merealisasikan hasrat syarikat untuk menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebaik mungkin.
Justeru, kebanyakan program amal dianjurkan QewComm adalah untuk mengumpul dana bagi badan kebajikan seperti Pertubuhan Kebajikan Niq Ehsan Malaysia (PKNEM), Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN).
Pengarah Urusan QewComm merangkap pengarah projek, Datin Rahizahwati Yahya, berkata setiap badan kebajikan dipilih mempunyai agenda sama dalam membantu golongan memerlukan.
"Syarikat menyasarkan sumbangan sekurang-kurangnya RM300,000 dan berharap lebih ramai tampil menghulurkan sumbangan," katanya.
Pada Malam Amal X Ulang Tahun Ke-10 QewComm, antara tetamu kehormat yang hadir adalah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong.
QewComm menyediakan perkhidmatan untuk pelanggan agensi kerajaan, swasta dan korporat. Syarikat ini menyasarkan pasaran domestik dan antarabangsa untuk mengukuhkan kedudukan sebagai agensi komunikasi terkemuka termasuk meluaskan perkhidmatan berkualiti tinggi.
Syarikat ini turut bergiat aktif dalam bidang penyiaran dan sudah menerbitkan beberapa rancangan televisyen terutama menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Selari dengan perkembangan dunia di hujung jari, QewComm mengambil langkah meluaskan perkhidmatan dalam bidang telekomunikasi selepas mendapat lesen penuh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Sementara itu, tujuh kategori meja ditawarkan pada Malam Amal X Ulang Tahun Ke-10 QewComm iaitu Platinum pada harga RM10,000, Gold (RM8,000), Silver (RM6,000), Diamond (RM3,000), Emerald (RM1,800) Ruby (RM600) dan Sapphire (RM600).
Tempahan meja boleh dibuat menerusi Pengurus Komunikasi Pemasaran QewComm, Munirah Azman pada talian 011-11537372 atau Eksekutif Komunikasi Pemasaran QewComm, Izzuddin (017-2750167).