Selasa, 7 March 2023 | 11:00am
Persembahan eksklusif Ramli di DFP pada 13 Mei depan bakal merungkai kisah di sebalik dendangan terkandung dalam album Syair Timur terbitan 1997. Foto NSTP Rohanis Shukri
Persembahan eksklusif Ramli di DFP pada 13 Mei depan bakal merungkai kisah di sebalik dendangan terkandung dalam album Syair Timur terbitan 1997. Foto NSTP Rohanis Shukri

Idea spontan Papa Rock

KUALA LUMPUR : Berbicara dengan figura hebat ini, pasti ralit mendengar cerita pengalaman diraih sepanjang bertapak dalam dunia seni, lebih lima dekad lalu.

Daripada kisah menjadi vokalis kumpulan rock Sweet Charity pada era 1970-an, hinggalah menyanyi secara solo, semua pengalaman itu dikongsi sebagai ilmu untuk dijadikan panduan dan inspirasi bakat pelapis.

Antara topik perbualan adalah mengenai rahsia bagaimana lagu ciptaannya malar segar dan sering menjadi permintaan ramai dalam konsert atau acara persembahan.

Akui Datuk Ramli Sarip, beliau tidak mempunyai formula tertentu dalam memastikan lagu ciptaannya bertahan lama.

Sebaliknya, Ramli mendedahkan, lazimnya keadaan itu berlaku terhadap lagu yang dicipta dalam keadaan terdesak.

"Saya didatangi Datuk M Nasir dan bapa kepada penyanyi Ruhil Amani, Allahyarham Hussien Ali meminta saya menghasilkan lagu untuk Ruhil pada era 1980-an.

"Saya ambil gitar dan 'goreng' melodi, tidak sampai beberapa minit, lagu yang diberi judul Kawan itu siap.

"Tidak sangka lagu yang dihasilkan secara spontan menjadi popular dan diminati hingga hari ini.

Ramli mengaku tidak mempunyai formula tertentu dalam memastikan lagu ciptaannya bertahan lama. Foto NSTP Rohanis Shukri
Ramli mengaku tidak mempunyai formula tertentu dalam memastikan lagu ciptaannya bertahan lama. Foto NSTP Rohanis Shukri

"Penulis lirik, S Amin Shahab pula menjadikan lagu itu lebih mudah diterima kerana lirik berkisar kisah cinta remaja," katanya kepada BH Online.

Tambah Ramli, situasi serupa berlaku kepada dua lagi dendangan ciptaannya di mana ilham datang pada saat akhir.

"Masih ingat lagi, ketika itu, saya sedang menyiapkan album untuk kumpulan Lefthanded.

"Mereka sudah merakamkan sembilan lagu dan hanya menunggu satu single daripada saya. Syarikat rakaman pula asyik bertanya bila album itu akan siap.

"Saya diberitahu pengedar sudah tempah 50,000 unit dalam bentuk kaset.

"Dalam keadaan terdesak, suatu hari, kira-kira jam 12 malam, ilham untuk menghasilkan lagu Ku Di Halaman Rindu tiba dan dapat album itu disiapkan," katanya pada sidang media Konsert Syair Timur di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di ibu negara, baru-baru ini.

Ramli berkongsi, pengalaman sama dilaluinya ketika hendak menyiapkan album Kalam Kesturi pada 2002.

"Lagu terakhir yang disiapkan adalah Nyanyian Serambi yang liriknya saya simpan selama dua tahun sebelum dirakamkan.

"Bagaimanapun, ketika itu, liriknya hanya ada beberapa baris. Dalam kelam kabut itu, saya dapat ilham. Pada malam itu juga saya siapkan lagu berkenaan.

"Walaupun bukan lagu hit, namun, cukup memberi makna besar buat saya dan pendengar," katanya yang terkenal dengan vokal serak basah.

Dendangan lain yang turut dihasilkan Ramli dalam tempoh singkat iaitu 15 minit adalah Doa Buat Kekasih, bingkisan indah hasil paduan suaranya bersama Datuk Khadijah Ibrahim.

Berkongsi butiran Konsert Syair Timur yang bakal dipentaskan di DFP pada 13 Mei depan jam 8.30 malam, Ramli yang digelar Papa Rock berkata, persembahan itu diilhamkan daripada album Syair Timur yang diterbitkan pada 1997.

Kali keempat menjayakan persembahan di DFP, Ramli berkata, konsert sejam itu sarat dengan pelbagai pengisian.

"Konsert ini akan menterjemahkan apa yang ada dalam album Syair Timur. Ini merangkumi kepelbagaian irama, lirik yang mendalam dan makna amat tinggi.

"Saya juga menyelitkan segmen penghormatan terhadap seorang seniman yang banyak memberi kesan sepanjang perjalanan hidup saya.

"Ini bukanlah 'tribute' yang besar, namun, ada kesan dalam jiwa persahabatan kami," katanya.

Maklumat mengenai pembelian tiket Konsert Syair Timur di DFP boleh didapati menerusi laman web rasmi www.dfp.com.my.

Pada Konsert Syair Timur di DFP, Ramli bakal diiringi lapan pemuzik, manakala Rozario Rasul bertindak sebagai pengarah muzik.

Berita Harian X