KUALA LUMPUR: "Kenapa tidak dijemput? Entahlah, jangan tanya lagi. Serahkan sahaja kepada Allah. Biarlah, belum masanya jadi."
Demikian luahan bekas anggota Raihan, Nazrey Johani, 52, mengulas dirinya tidak diundang menjayakan Konsert Garis Masa Raihan di Stadium Malawati, Shah Alam, pada 18 Februari lalu.
Nazrey yang berundur daripada Raihan pada 2006 mahu semua pihak berhenti memberi kenyataan mengaitkan dirinya dengan kumpulan nasyid itu.
Malah, Nazrey tidak lagi berharap berganding semula dengan anggota Raihan yang lain iaitu Abu Bakar Mohd Yatim, Che Amran Idris dan Amran Ibrahim.
"Dahulu saya mungkin mengharap. Ini bukan sahaja harapan saya, tetapi harapan peminat dan umat Islam.
"Jadi, kalau beberapa kali harapan itu tidak dipedulikan, maka berhentilah kita untuk mengharap. Kita mengharap pada Allah sahaja... Sekurang-kurangnya, rasa mengharap itu baik.
"Itu bererti kita sayang, kita rindu. Macam orang bergaduh, berharap lagi hendak berbuat baik. Saya tunggu mesej di WhatsApp, jikalau ada, baguslah," katanya.
Nazrey berkata, apa yang terjadi adalah ketentuan Yang Maha Esa biarpun jauh di sudut hati, masih berharap dapat kembali akrab seperti dahulu.
"Saya nak beritahu, cukuplah mengharap. Berserahlah kepada Allah. Memang saya tidak dihubungi mereka.
"Cukuplah jangan mengharap lagi. Berserah diri kepada Allah kerana itu lebih baik. Sebenarnya, yang kita harap atau tidak, itu semua ketentuan Allah.
"Satu perkara yang kita faham, kehendak Allah itu baik. Apa yang kita rasa tidak baik tetap kehendak Allah. Semuanya bagi saya, anggaplah suatu keindahan dalam perjuangan," katanya ditemui selepas Konsert Saujana 25 Tahun di Zepp Kuala Lumpur, malam tadi.
Nazrey mengaku tidak terkilan dengan apa yang berlaku. Sebaliknya, beliau rindu untuk kembali bersama kumpulan yang ditubuhkan pada 1996 itu.
"Tidak ada istilah terkilan. Sebetulnya, sakit itu pun indah. Macam orang rindu adalah orang yang sakit, tapi indah sebenarnya. Perasaan rindu itu indah.
"Belajarlah untuk terima kehendak Allah. Saya sendiri pun belajar. Saya tetap akan bekerjasama kalau diberi peluang pada masa akan datang
"Satu perkara yang perlu difahami adalah hati orang, bukan hati kita. Pemikiran mereka bukan pemikiran kita. Jadi, kita tak dapat buat keputusan," katanya.
Pada Konsert Saujana 25 Tahun, Nazrey mendendangkan dua lagu secara solo iaitu Iman Mutiara dan Sesungguhnya.