KUALA LUMPUR : Kali pertama memohon pasport dan berkelana ke negara orang, sudah tentu kunjungan bakat baharu berasal dari Makassar, Indonesia, Feby Putri, 23, ke Malaysia dikenang sampai bila-bila.
Diundang Miebird Projects untuk menjayakan konsert solo di Zepp KL di sini, malam ini, Feby yang popular dengan single Halu cukup emosional memikirkan pencapaiannya sejak bertatih dalam bidang seni, kira-kira lima tahun lalu.
Anak bongsu daripada tujuh beradik itu berkata, laluan untuk bergelar penyanyi bukanlah mudah, umpama tiada tiket ekspres mencapai apa yang dihajati.
"Saya merantau ke Jakarta pada usia 18 tahun ditemani abang semata-mata untuk menggapai cita-cita jadi penyanyi.
"Ketika berhijrah ke Jakarta, kami hanya menyewa sebuah bilik kecil dan bergantung hidup hasil membuat ulasan produk di laman sosial selain meraih pendapatan melalui YouTube," katanya.
Feby berkata, biarpun cita-citanya menjadi penyanyi pada mulanya ditentang ibu bapa, namun, dia berjaya membuktikan kemampuannya.
Sekarang, Feby mampu memiliki rumah teres lima bilik bernilai lebih RM240,000 pada usia muda. Malah, single pertamanya, Halu meraih lebih 42 juta tontonan di YouTube.
"Ketika mula-mula menjejakkan kaki ke Jakarta, saya hanya memanfaatkan pengikut seramai 100,000 orang di Instagram (IG).
"Saya juga beroleh hasil menyanyikan lagu saduran di YouTube untuk menjana pendapatan. Akhirnya, pada 2021, saya berjaya membeli rumah hasil titik peluh menyanyi
"Ibu bapa tumpang bangga, lebih-lebih lagi apabila saya diundang ke Malaysia. Cuma, mereka tidak datang kerana masing-masing sudah berusia," katanya yang turut sebak melihat kumpulan pengiring berulang kali mengucapkan terima kasih kerana membawa mereka bertandang ke Malaysia.
Mengenai persembahan di Zepp KL, malam ini, Feby mengaku selama ini tumpang gembira melihat teman seperjuangan seperti Yura Yunita, Nadin Amizah dan ramai lagi mementaskan konsert di negara ini.
Akui Feby ketika diberitahu pengurus bahawa dia diundang ke Malaysia, dirinya sebak dan mengucapkan kesyukuran berkali-kali.
"Sebagai penyanyi baharu, undangan itu membuatkan saya gementar dan teruja. Apatah lagi, ramai peminat di Malaysia bertanya bila mahu adakan konsert di Kuala Lumpur," katanya yang bakal mempersembahkan 12 lagu ciptaan sendiri dalam konsert dua jam, malam ini.