SHAH ALAM: Bekas suami penyanyi Lufya Omar, 38, iaitu Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum, 32, terkejut apabila menerima notis tuntutan mutaah berjumlah RM1 juta daripada bekas isteri walaupun sudah bercerai tiga tahun lalu.
Bagaimanapun, Dr Hafiz yang ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di sini, hari ini enggan mengulas lanjut mengenai tuntutan dibuat oleh Lufya pada Oktober tahun lalu.
"Ya, saya terkejut dengan jumlah tuntutan. Saya nak minta maaf, perkara ini privasi dan saya tak nak beri apa-apa kenyataan buat masa ini sebab menghormati isteri saya.
"Memang sangat terkejut, apa-apa pun kita doakan yang terbaik. Semoga urusan semua pihak dipermudahkan," katanya kepada BH Online.
Dalam masa sama, peguam mewakili Dr Hafiz iaitu Abdul Hadi Mohamad Salleh mengesahkan jumlah tuntutan mutaah daripada pihak plaintif (Lufya) berjumlah RM1 juta.
"Mutaah adalah sagu hati bekas suami kepada bekas isteri selepas bercerai. Jadi, Lufya membuat tuntutan pada Oktober tahun lalu dan hari ini adalah untuk pengurusan kes.
"Sebelum ini, mereka sudah menjalani proses sulh, namun tidak mencapai kata sepakat. Kalau ikutkan, betul ia jumlah yang dituntut oleh pihak plantif.
"Namun semuanya masih dalam proses perbincangan dan mahkamah akan menentukan mengikut syarat tertentu," ujarnya.
Sementara itu, Lufya yang turut hadir ditemani peguam kelihatan sugul dan tidak memberikan sebarang respon ketika ditemui pihak media.
Kedua-dua pihak hadir ke mahkamah untuk pengurusan dokumen membabitkan tuntutan mutaah.
Lufya mendirikan rumah tangga dengan Dr Hafiz pada 26 November 2016 dan dikurniakan Laana Haura, 5.
Bagaimanapun, Lufya dan Dr Hafiz bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Shah Alam pada pada 17 Jun 2020.
Selepas tiga tahun bergelar duda, Dr Hafiz akhirnya berkahwin dengan pelakon Julia Farhana pada 14 Disember 2022.