Ahad, 26 Februari 2023 | 8:59pm
Nurul Shuhada mendakwa dirinya lebih bersemangat sekarang dan mahu memberi tumpuan kepada perniagaan yang diusahakannya. Foto IG Nurul Shuhada Mat Shukri
Nurul Shuhada mendakwa dirinya lebih bersemangat sekarang dan mahu memberi tumpuan kepada perniagaan yang diusahakannya. Foto IG Nurul Shuhada Mat Shukri

Saya mahu ubah pandangan skeptikal terhadap ibu tunggal - bekas isteri Hafidz Roshdi

KUALA LUMPUR: Bekas isteri pelakon, Hafidz Roshdi, 29, iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, tekad meneruskan hidup dan membesarkan dua anak tanpa bergantung orang lain.

Melalui hantaran Instagram (IG) Story, Nurul Shuhada menjelaskan dia mahu hidup berdikari dengan menjalankan perniagaan atas talian.

"Terima kasih semua kerana terus menyokong saya dalam peralihan hidup yang paling mencabar ini. Seperti yang semua sedia tahu, saya akan mulakan hidup sebagai ibu tunggal.

Melalui hantaran IG Story, Nurul Shuhada menjelaskan dia mahu hidup berdikari dengan menjalankan perniagaan atas talian. Foto IG Nurul Shuhada Mat Shukri
Melalui hantaran IG Story, Nurul Shuhada menjelaskan dia mahu hidup berdikari dengan menjalankan perniagaan atas talian. Foto IG Nurul Shuhada Mat Shukri

"Jadi, kebanyakan orang fikir bukan-bukan mengenai saya. Saya mahu ubah persepsi buruk orang pada ibu tunggal," katanya.

Nurul Shuhada berkata, dia hendak keluar daripada pandangan skeptikal segelintir pihak terhadap ibu tunggal.

"Saya nak keluar daripada pandangan skeptikal manusia yang mendakwa ibu tunggal selalu jadi orang yang meminta-minta dan berharap pada manusia untuk kelangsungan hidup anak-anak.

"Jadi, saya dengan rendah diri memohon semua untuk menyokong bisnes saya dan anak-anak untuk harungi fasa seterusnya dalam hidup kami.

"Duit bukanlah segala-galanya tapi kami tak boleh bayar bil dengan perkongsian dan 'like'," katanya.

Tambah Nurul Shuhda, sokongan dan dorongan orang ramai secara tidak langsung membuatkan dia lebih bersemangat.

Malah, Nurul Shuhada menyifatkan dugaan masalah rumah tangga sebagai hikmah besar dari Allah.

"Saya sedar ramai senasib, malah, ramai yang melalui pengalaman lebih teruk daripada saya. Saya hormati anda semua.

"Jadi, semua mesti faham bahawa tiada apa lagi yang selain ketenangan hidup dan rahmat Allah dalam meniti kehidupan yang tidak kekal ini. Saya berani cakap, saya tak pernah bersemangat seperti sekarang.

"Tamparan hebat ini membuatkan saya yakin bahawa diri kena lebih kental dan berdikari. Saya boleh harungi semua ini. Jadi, saya pilih untuk bina sumber pendapatan sendiri tanpa bergantung pada pihak berkenaan," katanya.

Baru-baru ini, BH Online melaporkan adik Nurul Shuhada yang hanya mahu dikenali sebagai Sofia mendedahkan Hafidz melafazkan cerai menerusi panggilan telefon terhadap kakaknya.

Sofia dilaporkan berkata, kakak dan abang iparnya sedang menunggu prosiding di Mahkamah Syariah berhubung perceraian mereka.

Terdahulu, kemelut rumah tangga Hafidz mula diperkatakan ramai apabila Nurul Shuhada mendedahkan suaminya ada hubungan dengan wanita lain.

Hafidz mendirikan rumah tangga dengan Nurul Shuhada pada 30 April 2016 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Humairah, 6 dan Umar, 2.

Berita Harian X