Ahad, 26 Februari 2023 | 1:00pm
Stacy teringin membawa konsert solo ke Sabah selepas beroleh pengalaman di DFP. Foto Ihsan DFPStacy
Stacy teringin membawa konsert solo ke Sabah selepas beroleh pengalaman di DFP. Foto Ihsan DFPStacy

Konsert Stacy di DFP catat sejarah

KUALA LUMPUR: Konsert Dewan Filharmonik Petronas (DFP) Presents Stacy di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di sini, malam tadi, mencatat sejarah apabila ditonton secara langsung di platform penstriman, YouTube DFP.

Stacy bersyukur konsert solo pertamanya itu boleh ditonton keluarganya di Sabah yang tidak berkesempatan datang ke ibu negara bagi melihat dirinya beraksi.

Stacy atau nama sebenar, Ummu Shaikhah Stacy Anam, 32, gembira selepas 15 tahun menjadi anak seni, impian untuk merealisasikan konsert solo, tercapai.

"Alhamdulillah, DFP siarkan konsert saya atas talian. Jadi, keluarga saya di Sabah yang tidak boleh datang ke Kuala Lumpur, berpeluang menonton sama.

"Terima kasih DFP untuk malam bermakna ini. Tetapi kalau mahu cakap saya puas hati, manusia memang tidak pernah puas.

"Namun, saya puas hati apabila nampak semua datang malam ini termasuk dua anak saya, Bella dan Eshaal.

Stacy bersyukur konsert solo pertamanya di DFP boleh ditonton keluarga di Sabah melalui penstriman. Foto IG Stacy
Stacy bersyukur konsert solo pertamanya di DFP boleh ditonton keluarga di Sabah melalui penstriman. Foto IG Stacy

"Ini konsert pertama saya di DFP. Jadi, dengan begini, serius saya katakan, saya tidak sangka boleh ada momen begini selepas melahirkan anak," katanya usai konsert itu, malam tadi.

Baru melahirkan anak, Isa, enam bulan lalu, Stacy mengaku bukan mudah merealisasikan konsert itu dengan waktu latihan terhad.

"Memang penat... Sudah beberapa hari saya tidur-tidur ayam. Jadi, saya berlawan dengan mental kerana persembahan ini terlalu holistik. Apatah lagi untuk konsert ini berbeza kerana saya ambil tahu semua perkara.

"Jadi, kalau diberi peluang lagi, ada banyak yang saya mahu beri. Bukan hendak cakap tidak cukup, kami harap mudah-mudahan peminat gembira dan terus menyokong saya berkarya.

"Saya anggap kejayaan malam ini adalah permulaan baharu buat saya selepas menang Akademi Fantasia (AF) musim keenam, menjayakan Anugerah Juara Lagu (AJL) dan sebagainya," katanya.

Berjaya mengumpulkan kira-kira 1,000 peminat menyaksikan konsert itu di DFP, Stacy berterima kasih kepada suaminya, Akim Ahmad yang banyak membantu.

"Terima kasih Akim kerana banyak menyelamatkan saya malam ini. Dia banyak menyaksikan proses saya merealisasikan konsert ini, misalnya, melihat saya berlatih menari dalam gelap di rumah.

"Saya bersyukur dia ada bersama saya. Pasti ada kekurangan tetapi mudah-mudahan, ini permulaan yang baik untuk karier saya dan Akim," katanya.

Stacy berkata, dia teringin membawa konsert itu ke negeri kelahirannya, Sabah.

"Namun, kami masih dalam fasa bermimpi berikutan momentum sudah ada. Kami sudah tahu cara hendak pentaskan konsert, jadi, kami mahu teruskan," katanya.

Pada konsert malam tadi, Stacy dan Akim berduet menerusi lagu Menggegar Dunia dan Aku, Kau & Muzik.

Stacy mendendangkan lagu popular antaranya Pakai Buang, Kasanova, Jahat, Khayal, Pelangi Senja, Bosan, Gagap, Not For Sale, Kisah Dongeng, Peluk, Aku Stacy dan Duit serta single baharunya, Teriak.

Berita Harian X