Rabu, 22 Februari 2023 | 4:14pm
Spielberg memegang anugerah ‘Golden Bear’ yang disampaikan kepadanya di festival filem antarabangsa Berlin. - Foto AP
Spielberg memegang anugerah ‘Golden Bear’ yang disampaikan kepadanya di festival filem antarabangsa Berlin. - Foto AP

Spielberg terima anugerah pencapaian seumur hidup

BERLIN: Pengarah terkenal, Steven Spielberg menerima anugerah pencapaian seumur hidup 'Golden Bear' di festival filem antarabangsa Berlin pada Selasa, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Anugerah itu disampaikan penyanyi kumpulan rock Ireland U2, Bono yang menyifatkan Spielberg sebagai antara aset terbesar Hollywood.

"Malam ini, penganugerahan, Golden Bear terhadap Steven Spielberg adalah pilihan tepat.

"Pencapaian sepanjang hayatnya bukan hanya mengenai kerjaya tetapi membabitkan kehidupan dan keluarganya sebenar," kata Bono ketika majlis anugerah itu.

Golden Bear juga pernah dianugerahkan kepada Dustin Hoffman, Kirk Douglas dan Meryl Streep.

Spielberg, 75, terkenal dengan filem Hollywoodnya termasuk ET, Indiana Jones, Jurassic Park dan Jaws.

Filem terbaharunya, The Fabelmans adalah berdasarkan kisah sebenar zaman kanak-kanaknya dengan berlatar belakang Amerika selepas perang.

Filem dibintangi Paul Dano dan Michelle Williams itu menerima pujian meluas, meraih penghargaan tertinggi dan memenangi Anugerah Golden Globes dan Critics Choice Award 2023.

Ia juga menerima tujuh pencalonan Anugerah Akademi, termasuk filem terbaik di Oscar. - BERNAMA

Berita Harian X