Isnin, 20 Februari 2023 | 7:47pm
Rahizahwati (tengah) bersama Pengarah Qew Group Berhad, Datuk Dr Iqbal; Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez dan Pengarah Telco Qew Communications, Mohd Fairoz Muhammed ketika sidang media 10th Anniversary Charity Night di KLCG Bakery, Dataran Merdeka, petang tadi. - NSTP/Aziah Azmee
Rahizahwati (tengah) bersama Pengarah Qew Group Berhad, Datuk Dr Iqbal; Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez dan Pengarah Telco Qew Communications, Mohd Fairoz Muhammed ketika sidang media 10th Anniversary Charity Night di KLCG Bakery, Dataran Merdeka, petang tadi. - NSTP/Aziah Azmee

Konsert amal bantu rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR: Sempena meraikan ulang tahun ke-10 penubuhan Qew Communications (QewComm), syarikat ini bakal menganjurkan konsert amal, Qew Communications Sdn Bhd 10 Years Anniversary Gala Night X Charity Concert pada 17 Mac depan.

Konsert amal ini diadakan bertujuan mengumpulkan dana untuk diserahkan kepada badan kebajikan terpilih.

Pengarah Urusan Qew Communications merangkap pengarah projek, Datin Rahizahwati Yahya berkata, setiap badan kebajikan dipilih mempunyai agenda sama dalam membantu golongan memerlukan.

"Kami merasakan sudah tiba masa untuk QewComm memberi semula kepada masyarakat terutama insan yang memerlukan menerusi penganjuran konsert amal ini.

"Mungkin usaha ini kelihatan kecil, tetapi ia adalah sumbangan besar buat golongan memerlukan.

"Objektif kami mengadakan konsert untuk mengumpul dana bagi badan kebajikan seperti Yayasan Kebajikan Negara (KN), Pertubuhan Kebaikan Niq Ehsan Malaysia (PKNEM) dan Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN).

"Namun, kami tekankan ini dana bukan hanya untuk anak seni, sebaliknya bantuan disalurkan oleh KN adalah secara menyeluruh. Misalnya, dari segi pendidikan dan sebagainya," katanya kepada BH Online.

Rahizahwati ditemui pada sidang media Qew Communications Sdn Bhd 10 Years Anniversary Gala Night X Charity Concert

di KLCG Bakery, Dataran Merdeka, di sini, petang tadi.

Konsert itu bakal diadakan di Hotel The Westin selama tiga jam pada 17 Mac depan, jam 8 malam.

Rahizahwati menyasarkan sumbangan RM30,000 dan berharap lebih ramai tampil menghulurkan sumbangan kepada insan memerlukan. - NSTP/Aziah Azmee
Rahizahwati menyasarkan sumbangan RM30,000 dan berharap lebih ramai tampil menghulurkan sumbangan kepada insan memerlukan. - NSTP/Aziah Azmee

Tambah Rahizahwati, pihaknya menyasarkan sumbangan RM30,000 dan berharap lebih ramai tampil menghulurkan sumbangan.

"Selepas mengambil kira bajet dan dana hasil sumbangan orang ramai, kami anggarkan jumlah kutipan sekitar RM30,000.

"Jadi, QewComm berharap konsert ini bakal mendapat sambutan hangat. Ini kerana konsert dianjurkan ini adalah konsert amal yang setiap pembeliannya akan disalurkan ke badan kebajikan terpilih," katanya.

Selain itu, QewComm juga menjanjikan penyanyi terbaik seperti Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Ramli Sarip, Datuk Awie, Dayang Nurfaizah dan Ella.

Kata Rahizahwati, barisan penyanyi undangan berdasarkan nama yang sinonim dengan aktiviti amal, selain kredibiliti masing-masing dalam menghiburkan penonton.

"Pasti ramai merindui gandingan Khadijah dan Ramli, jadi kami satukan semula atas pentas ini.

"Selain itu, antara yang turut terbabit membabitkan artis yang mengusahakan persembahan amal Solidariti Untuk Iskandar Spring iaitu Syafiq Farhain, Ameng Spring, Umarul Iklim dan Belle Fatah.

"Mereka akan diiringi pemuzik profesional tanah air iaitu Ritz Metalasia, Helmi, Ude Wahid, Ujang Exist, Robot dan ramai lagi," katanya.

Berita Harian X