KUALA LUMPUR: Sukar mempercayai lelaki menjadi punca utama pelakon jelita, Isyariana Che Azmi, 33, masih belum memiliki teman istimewa hingga saat ini.
Bagaimanapun, pemenang trofi Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 itu berkata, dia tidak menolak jodoh yang menjadi ketetapan Yang Maha Esa sebagai pasangan hidupnya.
"Saya belum berkahwin bukan disebabkan takut teraniaya atau sebagainya. Cuma, saya sudah selesa dengan kehidupan sekarang.
"Tapi, masalah sebenarnya saya sukar mempercayai seseorang lelaki. Ada kala saya terpaksa mengambil masa lama untuk mengenali seseorang.
"Ia membuatkan seseorang bosan dan berfikir saya tiada usaha untuk ke fasa seterusnya. Jadi, akhirnya lelaki pergi," katanya kepada BH Online.
Isyariana yang juga bekas peserta program realiti, Akademi Fantasia (AF) 2016 itu berkata, keadaan ibunya bergelut dengan kepayahan hidup selepas bercerai dengan bapa antara sebab lain untuk dirinya lebih berhati-hati sebelum menjalin hubungan.
"Saya berada dalam keluarga berpecah-belah, ibu bapa bercerai, jadi saya nampak situasi sebenarnya. Mungkin disebabkan perkara itu, ia mempengaruhi kepercayaan saya terhadap lelaki.
"Saya bukanlah serik menjalin hubungan istimewa dan saya juga tiada pengalaman dikecewakan. Cuma, saya yang kecewakan orang.
"Kawan boleh, tetapi untuk menjadi pasangan hidup mungkin sukar, buat masa ini," katanya.
Mengulas lanjut, anak kelahiran Temerloh, Pahang itu menjelaskan, dia sentiasa berdoa supaya dipertemukan dengan insan yang tepat kerana tidak sanggup berhadapan episod perceraian.
"Saya percaya tidak menolak akan menolak jodoh. Kalau memang sudah ditetapkan, mungkin hati saya akan senang.
"Saya berdoa tidak dipertemukan dengan seseorang yang bukan untuk saya. Kalau boleh saya tak mahu berhadapan dengan episod perceraian, tetapi perancangan Tuhan tiada siapa yang tahu," katanya.
Ditanya ciri-ciri lelaki idaman, Isyariana mahukan lelaki pendiam dan bukan di kalangan selebriti.
"Saya sukakan lelaki pendiam. Saya suka orang yang hanya bercakap perkara penting sahaja.
"Biar saya sahaja banyak bercakap. Selain itu, saya mahu elakkan individu bergelar selebriti," katanya ketika ditemui pada sidang media drama Isteri Halal yang bakal disiarkan di Astro Ria pada bermula 27 Februari ini.
Drama Isteri Halal menyaksikan Isyariana menggalas tugasan sebagai teraju utama dengan membawa watak Adellea.
Selain Isyariana, drama arahan Uchee Fukada dan terbitan Radius One itu turut menampilkan Uqasha Senrose (Eyra), Aidit Noh (Zayn) dan Nazim Othman (Daniel).
Isteri Halal menceritakan kisah hidup Adellea meninggalkan keluarga berkahwin dengan Zayn, lelaki daripada keluarga miskin.
Perkahwinan memisahkan Adellea daripada keluarganya, namun keuzuran ibu bapanya membawa Adellea pulang untuk menjaga mereka. Dalam masa sama, Zayn mula terabai tewas dengan godaan Eyra.