Rabu, 15 Februari 2023 | 10:30am
Ernie tetap gembira lagu Korban ciptaannya sepenuhnya mampu melangkah ke pentas akhir AJL 37, biarpun gagal membawa pulang sebarang trofi. - NSTP/Aziah Azmee
Ernie tetap gembira lagu Korban ciptaannya sepenuhnya mampu melangkah ke pentas akhir AJL 37, biarpun gagal membawa pulang sebarang trofi. - NSTP/Aziah Azmee

Ernie jadikan kekalahan pembakar semangat

KUALA LUMPUR: Kegagalan lagu Korban dendangan Ernie Zakri membawa pulang trofi Vokal Terbaik pada malam kemuncak, Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL 37) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Ahad lalu menyebabkan ramai peminat hampa bagi menyaksikan penyanyi dengan vokal mantap itu merampas semula trofi pernah digenggam pada AJL 35.

Penyanyi berusia 31 tahun itu dianggap antara calon berpotensi besar mengungguli trofi Vokal Terbaik, sekali gus memberi saingan sengit buat Aina Abdul dan Marsha Milan Londoh.

Biarpun persembahan Ernie memukau berserta vokal mantap dan jelas, namun ramalan tersasar apabila Ernie gagal membawa pulang sebarang trofi pada AJL 37.

Ernie berkata, dia akur dengan keputusan yang diumumkan juri, meskipun sedar ramai peminat meluahkan kekecewaan.

Kali pertama mendendangkan lagu Korban ciptaannya sepenuhnya, Ernie berkata, dia sudah bersyukur dapat melangkah ke pentas akhir AJL 37, malah ia juga disifatkan kejayaan peribadi buatnya.

"Bila sebut pertandingan, sudah tentu ada kalah dan menang. Justeru, saya reda dan menganggapnya tiada rezeki membawa pulang sebarang trofi untuk berkongsi bersama keluarga dan peminat.

"Walaupun gagal, saya tetap gembira kerana lagu Korban adalah hasil ciptaan saya sepenuhnya mampu melangkah ke pentas berprestij ini. Saya anggap ini adalah kejayaan peribadi untuk lembaran kerjaya seni, tahun ini.

"Saya terbuka menerima kekalahan ini. Malah, saya gembira melihat trofi Vokal Terbaik menjadi milik Aina, selain rakan-rakan lain seperti Joe Flizzow dan SonaOne, Alif Satar & The Locos dan Shiha Zikir diangkat sebagai pemenang kategori lain," katanya kepada HIP.

Ernie berkongsi, AJL 37 menghadiahkan pengalaman berbeza, sekali gus membuatkannya lebih bersemangat terus berkarya. - NSTP/Aziah Azmee
Ernie berkongsi, AJL 37 menghadiahkan pengalaman berbeza, sekali gus membuatkannya lebih bersemangat terus berkarya. - NSTP/Aziah Azmee

Tambah Ernie, finalis yang tewas bukan tidak bekerja keras, cuma tiada rezeki dan kegagalan tidak langsung mematahkan semangat, sebaliknya akan untuk menghasilkan karya yang terbaik pada masa akan datang.

"Saya melihat rakan artis yang menang adalah calon yang layak. Saya akui mengecewakan penyokong, tetapi rezeki di tangan Tuhan. Secara peribadi, saya okey dan menerima keputusan juri.

"Alhamdulillah, AJL 37 menghadiahkan pengalaman berbeza, sekali gus membuatkan saya lebih bersemangat untuk terus berkarya. Sudah tentu saya tidak akan berputus asa untuk mempertandingkan karya dalam AJL akan datang.

"Ini bermakna saya masih perlu banyak belajar dan menjadikan kekalahan ini dari sudut positif," katanya.

Berita Harian X