KUALA LUMPUR: Bukan sedikit perbelanjaan dikeluarkan penyanyi kecil molek, Shiha Zikir, 36, apabila lagu Irama dipertandingkan di pentas Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL 37) yang berlangsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil, Ahad lalu.
Shiha menerusi syarikatnya, Shiha Zikir Empire, Todak Music dan Alternate Record membelanjakan lebih RM100,000 membabitkan penggunaan lampu laser berharga puluhan ribu ringgit.
Nyata pelaburan tinggi Shiha atau nama sebenarnya, Nurshiha Mohd Zikir berbaloi apabila membawa pulang trofi Persembahan Terbaik, sekali gus mengetepikan pencabar terdekat, Naim Daniel yang tampil dengan persembahan 'berani mati' menyanyi dalam keadaan tergantung dan terbalik pada malam kemuncak itu.
Biarpun penonton menyifatkan kemenangan Shiha tidak membawa pulangan modal, Shiha berkata, apa yang dicari adalah kepuasan dalam menjayakan persembahan.
"Kalau dipersoalkan mengenai undian, saya memang tak jangka boleh menang. Namun, saya tidak mahu berputus asa, sebaliknya menyemat keyakinan bahawa usaha dan tenaga bersama pasukan pasti membuahkan hasil.
"Nyata percaturan saya dan pasukan tidak tersasar apabila lagu Irama berjaya memenangi trofi Persembahan Terbaik.
"Saya bersama syarikat pengurusan dan rakaman sanggup melaburkan lebih RM100,000. Kos tinggi apabila membabitkan penggunaan lampu laser. Satu lampu laser sahaja membabitkan kos puluhan ribu, saya pula menggunakan lapan lampu.
"Walaupun ada yang tidak berpuas hati apabila konsep dibawakan menelan lebih RM100,000, sedangkan hadiah kemenangan diperoleh hanya RM12,000, tetapi saya tetap puas," katanya kepada BH Online.
Terdahulu, Shiha mendendangkan lagu Irama dengan cahaya laser berserta warna neon dengan rentak tari penuh bertenaga.
Dalam masa sama, penyanyi kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu berkata, apa yang dikecapi dalam AJL 37 disifatkan sebagai rezeki buatnya.
"Saya menang tak yakin boleh menang. Ini kerana finalis lain mempunyai sokongan peminat yang kuat.
"Jadi, saya hanya percaya kepada rezeki. Penonton yang mengundi nampak usaha yang saya berikan ketika berada di pentas AJL 37.
"Ini bukanlah bermakna persembahan saya cukup bagus. Saya yakin semua finalis tampil dengan persembahan hebat, cuma trofi Persembahan Terbaik menjadi rezeki saya," katanya.
Mengulas pandangan netizen mengatakan trofi Persembahan Terbaik AJL 37 wajar diberikan kepada Naim, Shiha menyifatkan setiap finalis mempunyai kelebihan tersendiri.
Malah, katanya, dia enggan mengambil peduli dengan kata sinikal yang dilemparkan kepadanya.
"Jujurnya, saya amat kagum dengan persembahan Naim. Saya sudah teruja melihat persembahannya ketika sesi latihan lagi.
"Ini kerana menyanyi dalam keadaan tergantung dan terbalik bukan perkara mudah, lebih lagi, menyampaikan lagu bergenre balada seperti Mainan.
"Saya tak mahu komen kata negatif yang mempersoalkan kemenangan lagu Irama. Saya faham setiap netizen mempunyai pendapat tersendiri, tak semua orang mempunyai pemikiran sama.
"Sudah tentu jika masuk bertanding kita nak menang. Saya pun mengejar kemenangan. Sebelum ini, saya sudah menyertai banyak program dan pertandingan. Jika tewas, saya tak pernah menyalahkan sesiapa," katanya.
Sementara itu, Ketua Juri AJL 37, Datuk Mokhzani Ismail, berkata kemenangan Shiha menewaskan Naim disebabkan keseluruhan persembahannya menepati aspek pemarkahan ketika penilaian.
"Shiha menerima markah paling tinggi, tetapi persembahan Naim juga ada kelebihan. Begitu juga persembahan lagu Satu Malam Di Temasek kolaborasi SonaOne dan Joe Flizzow.
"Namun, juri menilai dari keseluruhan corak persembahan dan sebulat suara memilih Shiha sebagai penyandang trofi Persembahan Terbaik," katanya.